Dr. Mahathir Mohamad

PETALING JAYA – Kerajaan memberi jaminan mana-mana syarikat korporat yang memberi maklumat mengenai salah laku rasuah, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta, akan dilindungi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, identiti pemberi maklumat mengenai jenayah itu akan dirahsiakan dan mereka tidak akan didiskriminasikan oleh agensi kerajaan.

“Saya merayu kepada syarikat korporat Malaysia untuk membantu Kerajaan memerangi rasuah sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.

“Ia demi kesejahteraan kita dan kesejahteraan anak-anak kita dan mereka.

“Syarikat yang menyediakan maklumat tentang salah laku rasuah akan dilindungi. Mereka tidak akan di diskriminasi oleh agensi kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Anugerah Kelab Bilion Ringgit The Edge 2019 di Hotel Sheraton, di sini, malam ini.

Dr Mahathir berkata, usaha membanteras rasuah perlu dilakukan bersama kerana ia hanya meningkatkan kos perniagaan dan merugikan pengguna serta pekerja.

“Ini kerana kos yang melibatkan rasuah akan memberi kesan kepada perniagaan, pengguna dan pekerja mereka.

“Apabila rasuah dikurangkan, syarikat akan membuat lebih banyak wang, seterusnya akan meningkatkan pampasan kepada pekerja, pemegang saham dan orang awam,” katanya.

Dr Mahathir turut menggesa komuniti korporat agar tidak mudah terpedaya serangan politik dan berita palsu terhadap Kerajaan Pakatan Harapan.

“Tolong jangan mudah terganggu dengan semua bunyi bising politik yang anda baca dan dengar setiap hari. Ia adalah sebahagian besarnya daripada demokrasi yang mantap dan bertenaga.

“Berita palsu adalah realiti seperti kini media sosial tersedia untuk semua orang secara langsung tanpa campur tangan editor dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. HEBAT & TAHNIAH PM…
    Ketika rakyat menderita & tersiksa dlm segala hal.
    Hilang Tempat Tinggal, Hilang Mata Pencarian, Merempat Di Jalan, Kos Sara Hidup Membeban dll tapi.
    PM masih lagi ceria & selesa mengadap Jamuan Makan Malam bersama Koperat Kelab Billion Ringgit .

    PERINGATAN BUAT SEMUA…

    Banyak Harta mu
    Tinggi Pangkat mu
    Sihat Tubuh mu
    Hebat Ucapan mu
    Besar Pengaruh mu

    Belum ada makluk bernama ” MANUSIA’ yg kekal selamanya.

    1,3,5 @ 7 helai itu saja jumlah kain kapan yg akan membaluti tubuh ini bila keluarnya makluk yg bernama ROH dari JASAD mu.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.