SUNGAI BULOH – Kerajaan negeri Selangor digesa supaya menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada penduduk yang terlibat dengan perobohan rumah di Kampung Kedondong, Paya Jaras di sini.

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berkata, pihak berkenaan juga perlu berjumpa dengan penduduk bagi mencari langkah penyelesaian terhadap keputusan meroboh kediaman mereka yang dilakukan sejak semalam.

“Saya berasa simpati kepada penduduk Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir Sungai Buloh ini selepas tindakan kerajaan negeri merobohkan rumah mereka tanpa ada notis pemberitahuan diberikan.

“Makluman awal yang saya terima ialah perbincangan antara pihak kerajaan negeri dan wakil penduduk telah bersetuju untuk menangguhkan proses perobohan rumah ini sehingga November 2019.

“Perkara ini selepas mengambil kira rayuan penduduk yang mempunyai anak yang akan menghadapi peperiksaan besar tahun ini seperti UPSR, PSRA, PT3, SPM dan STPM.

“Mereka bukan tidak bersetuju untuk berpindah tetapi memohon sedikit masa lagi untuk mereka benar benar bersedia dari segala hal untuk berpindah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarah penduduk yang terbabit dengan perobohan tersebut, di sini hari ini.

Rizam berkata, beliau dimaklumkan penduduk yang terlibat juga tidak ditawarkan penempatan sementara malah, turut tidak menerima sebarang pampasan atau duit sewa.

Ujarnya, apa yang berlaku ke atas penduduk terbabit merupakan satu bentuk penindasan kepada rakyat yang mana jika dapat dibincangkan secara elok akan memberikan keputusan menang-menang kepada semua pihak.

Hadir sama menziarahi penduduk terbabit Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar. – MalaysiaGazette