Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berucap pada Forum Awam Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengenai belanjawan 2020 di Universiti Malaysia (UM), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 19 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disaran agar kembali menumpukan kepada janji yang dibuat melalui Buku Harapan.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ketika ini kerajaan dilihat tidak komited untuk memenuhi semangat buku itu bagi membantu golongan bawahan.

“Buku Harapan mungkin isu sensitif namun kerajaan perlu kembali kepada semangat buku itu.

“Kerajaan ketika ini tidak cukup fokus untuk membantu golongan bawahan seperti mana yang dijanjikan,” kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Forum Awam anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengenai Belanjawan 2020 di Universiti Malaya di sini hari ini.

Ahli panel lain adalah pakar ekonomi, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram dan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, Dr M. Jeyakumar.

Nik Nazmi sebelum ini pernah menyaran kerajaan fokus kepada semangat Buku Harapan untuk bergerak ke hadapan.

Ini kerana, janji dalam buku itu akan membawa kerajaan jauh ke arah memenangi hati Melayu luar bandar tanpa mengenepikan Melayu di bandar dan bukan Melayu yang mengundi PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Buku Harapan boleh dilaksanakan. Kita tidak dapat menyempurnakan semua janji 100 hari itu tetapi itu tidak bermakna ia tidak dapat direalisasikan. Demikian juga dengan janji-janji lain.

“Sesetengah perkara mungkin perlu berlaku mengikut keutamaan, tetapi ia mesti dilakukan jika negara mahu berkembang maju.

“Kita tidak sepatutnya mengetepi Buku Harapan kerana kecenderungan politik,” katanya kepada media sebelum ini. – MalaysiaGazette