Pusat Perubatan Prince Court

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berkata, susah payah prestasi kewangan Pusat Perubatan Prince Court dipulihkan selepas diambil alih oleh Khazanah Berhad pada tahun 2018, tiba-tiba pemilikan hospital itu dijual kepada sebuah syarikat Jepun.

Dijual pula pada harga yang rendah iaitu RM1.02 bilion berbanding RM1.08 bilion ketika dibeli oleh Khazanah.

Harga jualan itu mendatangkan kerugian sebanyak RM600 juta kepada Khazanah, kata Najib.

“Pada bulan Mac 2018 pula, Khazanah Nasional membeli hospital ini dari Petronas dengan harga RM1.08 bilion. Prestasi hospital ini terus memulih dan meningkat dan mereka berjaya mencatat keuntungan RM50 juta untuk tahun 2018.

“Bulan ini pula, Khazanah menjual keseluruhan kepentingan mereka dalam Pusat Perubatan Prince Court kepada syarikat IHH Berhad dengan harga RM1.02 bilion – iaitu RM60 juta di bawah harga pembelian mereka.

“Khazanah tiba-tiba perlu mengalami kerugian RM60 juta ini walaupun hospital Prince Court telah berjaya dipulihkan dan mencatat keuntungan yang tinggi dan keuntungan mereka semakin meningkat.

“Sebaik sahaja berjaya dipulihkan dan mula mencatat keuntungan besar yang semakin meningkat, tiba-tiba dijual pula dengan harga lebih murah kepada syarikat swasta,” ujar beliau.

Najib memberitahu, Prince Court dibina semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Keempat dengan kos RM357 juta oleh Peremba Construction Sdn Bhd pada September 2002.

Tetapi syarikat Peremba gagal untuk menyiapkan projek tersebut dan kontrak mereka dibatalkan pada bulan Oktober 2006.

Projek pembinaan ini disambungkan oleh syarikat Sunway Construction Sdn Bhd dengan harga RM391 juta.

Akhirnya, hospital ini memulakan operasi pada akhir tahun 2007 dengan kos keseluruhan RM544 juta. – MalaysiaGazette