Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali bercakap pada sidang media khas sempena pelancaran Parti Putra di Ibu Pejabat Perkasa Putra, Wisma KGMB, Kompleks Damai, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 19 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya kecil (PRK) atau Pilihan Raya Umum (PRU).

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, parti itu sudah mendapat kelulusan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dua hari lalu, termasuk membenarkan Putra menggunakan lambang tanjak.

Katanya, barisan kepimpinan dan semua ahli sudah bersemangat dengan parti yang ditubuhkan untuk menjaga dan membela kaum Melayu dan Islam ini.

“Sama ada kita bersedia atau tidak untuk masa sekarang ini, kita akan tengok pada keadaan terlebih dahulu. Namun, kita sudah ada semangat ke arah itu.

“Tambahan pula, untuk menyertai pilihan raya tidak memerlukan kos yang banyak seperti sebelum ini. SPR memperkenalkan pelbagai syarat yang meringankan calon untuk bertanding.

“Kaedah kempen pun tidak seperti dahulu lagi. Kita ada media sosial yang boleh digunakan sepenuhnya untuk berkempen,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengumumkan perubahan dalam biro politik Putra Malaysia dengan melantik Burhan Ahmad Zakaria sebagai Setiausaha Agung parti itu, menggantikan Mohd Arshad Aliman yang mengalami kecederaan akibat kemalangan.

Datuk Ibrahim Ali (kiri), Hamzah Zainuddin (tengah) dan Borhan Ahmad Zakaria (kanan) menunjukkan logo PUTRA dan surat kelulusan menggunakan logo PUTRA pada sidang media khas sempena pelancaran Parti Putra di Ibu Pejabat Perkasa Putra, Wisma KGMB, Kompleks Damai, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 19 SEPTEMBER 2019.Jawatan Ketua Penerangan Putra Malaysia yang sebelum ini dipegang Burhan diserahkan kepada Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin Tahir.

Dr. Aziz Jamaluddin adalah bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan pernah menjadi calon Barisan Nasional (BN) bertanding kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU12.

Mengenai pelancaran parti Putra yang dijadualkan pada 28 September ini, Dr. Ibrahim menyatakan, pelancaran itu merupakan langkah ke hadapan parti berkenaan setelah mendapat kelulusan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 8 Mei lalu.

Ujarnya, pelancaran parti itu akan diadakan di padang Kampung Pindah, Kampung Baru, di sini, pada jam 3 petang.

Kata beliau, sehingga kini ROS telah meluluskan atau mengeluarkan surat kelulusan tubuh bahagian kepada 112 bahagian Putra di seluruh negara termasuk Sabah, manakala 30 bahagian lagi masih dalam proses kelulusan.

“Oleh itu, 112 bahagian yang sudah menerima surat menubuh bahagian ini akan mengadakan mesyuarat di peringkat bahagian masing-masing secepat mungkin, termasuk sayap parti iaitu Wira, Wiranita dan Wirawati.

“Dengan kemajuan yang kita capai ini amat wajar kita adakan pelancaran penubuhan secara rasmi untuk memaklumkan bahawa parti Putra sudah berada di persada politik tanah air.

“Lebih menggembirakan saya, apabila pendaftaran Putra dengan SPR juga sudah diluluskan, termasuk simbol tanjak,” katanya.

Beliau menyatakan keyakinannya bahawa Putra Malaysia akan menjadi sebuah parti yang teratur dan bergerak mengikut syarat ditetapkan ROS dan SPR. – MalaysiaGazette