Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerja-kerja merobohkan rumah yang didirikan di atas tanah rizab kerajaan negeri berhampiran Sungai Kedondong di Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh dekat sini dibuat bagi membolehkan projek tebatan banjir di kawasan itu yang tertangguh sejak 2015 dilaksanakan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, projek itu dirancang untuk dibina pada 2015 tetapi tidak dapat dilaksanakan ekoran penangguhan yang dimohon oleh penduduk yang membina rumah di tapak tanah projek itu.

“Ini menyebabkan banjir sering melanda kawasan sekitar dan menjejaskan kehidupan ribuan masyakat yang tinggal di sana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Akademi Kepimpinan Wanita Selangor di sini, hari ini.

Amirudin berkata, sepanjang diberi penangguhan penduduk terlibat telah beberapa kali diberi notis untuk mengosongkan rumah mereka oleh kerajaan negeri selain ditawarkan kediaman lain termasuk kos untuk berpindah dari lokasi tersebut.

“Isu ini (pembinaan projek tebatan banjir) melibatkan lokasi yang lebih besar kerana kawasan Paya Jaras dan Merbau Sempah sering terkesan dengan banjir dan akan menjadi lebih parah jika projek tidak diteruskan pada masa depan.

“Kita telah memenuhi permintaan penduduk terlibat untuk tangguh projek sejak 2015 hingga kini namun kerajaan negeri juga ada kekangannya malah perlu menanggung kos kira-kira RM2 juta sebulan atas penangguhan projek ini.

“Saya memikirkan masalah lebih besar malah aspek kemanusiaan seperti tawaran rumah kepada penduduk terlibat telah dilakukan lebih awal oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan lebih 400 penduduk berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh memohon kerajaan negeri menangguh operasi perobohan rumah mereka sehingga Disember ini atas alasan gagal mencari penempatan baharu. – Bernama