Dua pengunjung memakai penutup hidung dan mulut bergambar berlatarbelakangkan pemandangan bandar raya Kuala Lumpur yang terjejas akibat jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 119 API yang dipaparkan di laman sesawang apims.doe.gov.my sekitar jam 1 petang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Menara Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 SEPTEMBER 2019.

PETALING JAYA – Perubahan arah tiupan angin diramal akan melegakan keadaan jerebu yang sudah menyelubungi Malaysia selama dua minggu.

Ketua Pengarah Meteorologi, Jailan Simon berkata, keadaan di Sabah dan Sarawak dijangka bertambah baik mulai Sabtu atau Ahad manakala Semenanjung pula akan bertambah baik mulai Ahad atau Isnin depan.

Beliau berkata, angin diramalkan bertiup dari timur ke barat dan jika keadaan angin stabil, jerebu dijangka akan dibawa angin ke arah Sumatera, Indonesia.

Jailan berkata, walaupun keadaan akan bertambah baik, ia tidak bermakna masalah jerebu akan selesai sepenuhnya.

“Keadaan cuma akan dilegakan buat sementara waktu,” katanya kepada Sinchew Daily.

Jailan menjangkakan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) akan diturunkan ke bawah paras 100 dengan perubahan tiupan angin tersebut.

Beliau menjelaskan, bacaan di bawah 100 adalah dianggap normal kerana indeks selalu berlegar di sekitar 50 disebabkan kuantiti kenderaan yang banyak di Malaysia.

Jailan juga menegaskan bahawa keadaan jerebu di Malaysia tidak akan bertambah baik jika berlaku tiupan angin yang tidak stabil. – MalaysiaGazette