Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kenyataannya kelmarin telah diputar belit oleh DAP dan jentera sibernya bagi menggambarkan Pas menolak kebebasan beragama dan menyebarkan kebencian.

Timbalan Presiden Pas itu berkata, perbuatan itu merupakan dakyah yang sengaja dipotretkan oleh DAP untuk menggambarkan ‘kekerasan’ setelah parti itu berjaya bekerjasama dengan UMNO bagi menyatupadukan ummah.

“Kenyataan saya semalam hanya meminta polis menyiasat ucapan Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam) dalam forum Naratif Malaysia Baharu pada 14 September 2019 di Kota Damansara, selain penganjuran dan kandungan lain forum itu.

“Saya memetik ucapannya, “The Kingdom of God is an unstoppable mission, and the reason is simply this, God Himself will act on it, and that is our unshakeable confidence”.

“Begitu juga Steven sekali lagi mengatakan, “The Kingdom of God is unstoppable and this is our answer to all ideologies of capitalism, communism, socialism, liberalism, nationalism. God Himself is committed to act and ensure the success of His own kingdom”,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Rabu lalu, Steven Sim meminta Tuan Ibrahim menghormati kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Beliau meminta Timbalan Presiden Pas itu berhenti menabur kebencian serta perpecahan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

Steven Sim menyatakan demikian mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang dilaporkan portal Malaysiakini pada Rabu, bertajuk “Polis perlu siasat forum Naratif Malaysia Baru”.

Menurut Tuan Ibrahim, DAP harus belajar menghormati perjuangan Pas yang membawa Islam, penyatuan ummah tanpa melabelkannya dengan gambaran buruk seperti talibanisme, rasisme, ekstremisme dan klepto-teokrasi.

Katanya, dalam kenyataannya itu, beliau langsung tidak mempertikaikan nilai baik yang dikongsikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu, tetapi sebagai rakyat Malaysia, wujud kebimbangan apabila pemimpin DAP mengulangi secara tegas perihal The Kingdom of God dalam Naratif Malaysia Baharu.

Secara tidak langsung, tegasnya, wujud juga beberapa persoalan adakah DAP akan menjadikan The Kingdom of God sebagai naratif baru dalam politik di Malaysia?

“Adakah ia dilihat tidak bercanggah dengan asas Rukun Negara dan peruntukan utama dalam Perlembagaan seperti Islam Agama Persekutuan dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara?,” katanya. – MalaysiaGazette