Mohd Redzuan Md Yusof
PETALING JAYA – Program dan majlis penganugerahan dalam bidang keusahawanan wajar diperbanyakkan bagi menggalakkan lebih banyak penglibatan usahawan baru khususnya golongan muda untuk menceburi sektor itu.

Demikian saranan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang turut optimis usaha itu mampu mengetengahkan lebih ramai usahawan muda yang berpotensi tinggi.

Beliau berkata majlis penganugerahan seperti Leadership Excellence Awards 2019 wajar dijadikan contoh dalam usaha membantu kementerian memperkasakan bidang keusahawanan selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030.

“Melihat kepada pemenang-pemenang, ramai anak muda berjaya dalam bidang keusahawanan dan menjadi penanda positif… bidang ini ada pelapis yang berpotensi tinggi.

“Kementerian amat menyokong usaha seperti ini, ia mampu memperkasakan usahawan dan ahli perniagaan di samping meletakkan Malaysia pada landasan betul ke arah sebuah negara keusahawanan,” katanya kepada pemberita selepas majlis anugerah itu disini malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Des Prix Infinitus Media, Hagenz Choo.

Leadership Excellence Awards 2019 anjuran Des Prix Infinitus Media itu mengiktiraf usaha, perkembangan, pembangunan dan pencapaian perdagangan pemain serta pemimpin industri tempatan dan seluruh Asia.

Sementara itu, Choo berkata penganjuran anugerah itu bertujuan menjadi platform memperkasakan bidang berkenaan melalui pengiktirafan usaha serta pencapaian luar biasa usahawan.

Katanya, calon pemenang bukan sahaja usahawan tempatan malah membabitkan beberapa negara Asia lain yang sekaligus membuka ruang perniagaan rentas industri dan negara.

“Usaha ini juga mewujudkan lebih banyak rangkaian hubungan antara usahawan tempatan dan luar negara dan sekaligus membuka peluang perniagaan rentas industri dan negara yang mampu memacu pertumbuhan industri,” katanya kepada Bernama.

Majlis itu menyaksikan 70 anugerah diberikan kepada usahawan, ahli perniagaan dan pemimpin industri tempatan dari seluruh Asia. – MalaysiaGazette