Sekumpulan pelancong berjalan berlatar belakangkan Menara Kuala Lumpur yang terjejas akibat jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 156 API yang dipaparkan di laman sesawang apims.doe.gov.my sekitar jam 3 petang ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 16 SEPTEMBER 2019.

BENCANA jerebu yang melanda di seluruh negara kini agak membimbangkan dengan lima negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sarawak setakat ini telah
merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang sangat tidak sihat iaitu melebihi 200.

Situasi jerebu yang kritikal ini merupakan masalah global yang turut dihadapi negara Asia Tenggara lain seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura dan Filipina.

Bencana jerebu turut mengundang risiko penyakit kepada semua peringkat umur tanpa mengira dewasa atau kanak-
kanak.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Dalaman Hospital Pakar KPJ Perlis (KPJ) Perlis, Dr. Nurazam Omar berkata, gejala awal bagi individu yang terdedah secara langsung dengan jerebu ialah sakit
kerongkong, mulut kering, ulser mulut, selesema, sukar bernafas, mata berair dan kulit gatal.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Dalaman Hospital Pakar KPJ Perlis (KPJ) Perlis, Dr. Nurazam Omar.

“Malah, bencana jerebu menyebabkan taraf kesihatan mereka yang menghidapi penyakit paru-paru yang kronik, asma dan resdung bertambah merosot selain sukar dikawal.

“Selain itu, terdapat peningkatan kemasukan kes serangan jantung, strok dan tekanan darah tinggi di hospital awam dan swasta kerana jerebu mengaktifkan serta mempercepatkan pembentukan plak aterosklerosis yang menjadi punca utama penyakit kardiovaskular.

“Terdapat juga peningkatan gejala psikomotor seperti sakit kepala, kurang selera makan, sakit perut, tidak bermaya, gelisah, kerap berasa sedih dan sukar tidur.

“Bukti klinikal mendapati pengaliran darah ke otak berkurangan dalam kalangan mereka yang terdedah kepada jerebu hanya dalam tempoh 30 minit sahaja,” katanya ketika ditemui di KPJ Perlis baru-baru ini.

Katanya lagi, mereka yang ingin menghindari kesan jerebu dengan hanya menetap di kediaman semata-mata juga terdedah kepada risiko kesihatan.

“Jika terlalu lama duduk di rumah boleh menyebabkan seseorang mengalami kemurungan selain tidak bermaya kerana kekurangan hormon-hormon tertentu.

“Sebagai contoh, Ali yang sebelum ini sihat dan aktif melakukan senaman namun semasa jerebu, dia mengurangkan aktivitinya dengan duduk dirumah sahaja selain menghabiskan masa dengan
menggunakan gajet akan menyebabkannya lembam dan malas.

“Seperti yang kita maklum apabila kita bersenam, beberapa hormon seperti endorphine dan serotonin akan dirembeskan yang menyebabkan kita kekal segar dan ceria,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, penyelidikan pakar perubatan di Amerika Syarikat terhadap golongan wanita berusia dan terdedah kepada jerebu mendapati, struktur dalaman otak mereka
merosot teruk dalam tempoh sepuluh tahun berbanding mereka yang tidak terdedah kepada jerebu.

“Wanita yang terdedah dengan jerebu dalam tempoh masa tertentu agak kerap berisiko tinggi menghidap penyakit demensia,” katanya.

Dalam pada itu, Nurazam menasihatkan rakyat negara ini mengambil air yang mencukupi selain kerap mandi dan mencuci tangan bagi mengurangkan gejala kerana jerebu.

“Sekiranya anda tergolong dalam golongan berisiko tinggi seperti, kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah penyakit kronik segera berjumpa doktor sekiranya tidak sihat.

“Hadkan aktiviti luar, namun masih boleh melakukan aktiviti ringan di dalam rumah. Sekiranya perlu keluar rumah, gunakan topeng muka yang sesuai seperti topeng N95 sahaja yang boleh menyekat partikel bersaiz 2.5 mikron.

“Jangan sesekali melakukan pembakaran terbuka terutamanya ketika musim jerebu ini,” nasihat Nurazam.-MalaysiaGazette

Artikel sumbangan Pegawai Perhubungan Awam KPJ Perlis Specialist Hospital, MEGAT LUFTI MEGAT RAHIM.