Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap kepada media selepas melawat balu Allahyarham Mejar Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun di RKAT Kem Wardieburn Setapak, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang membangunkan strategi dan pelan bagi menangani punca perkahwinan bawah umur secara holistik melibatkan agensi-agensi kerajan dan bukan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pada masa ini tindakan dari sudut perundangan telah dibuat dan kini hanya menanti tindakan negeri-negeri untuk meminda enakmen.

Katanya, ada negeri-negeri yang bersetuju dengan perkara tersebut malah, ada juga negeri yang tidak bersetuju.

“Antara negeri-negeri yang tidak bersetuju iaitu Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan,” katanya.

Tambah Wan Azizah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini sedang dalam proses pindaan Akta 303 untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun bagi perempuan.

Ujarnya, JAKIM juga sedang membuat penyelarasan dengan negeri-negeri untuk melaksanakan enakmen undang-undang keluarga Islam di negeri-negeri.

Bagaimanapun Wan Azizah menegaskan, permohonan perkahwinan bawah umur di bawah Akta 164 pula diperketat melalui pewujudan SOPĀ  yang mengambil kira aspek sosial dan kesihatan pemohon.

Sebelum ini, kerajaan menegaskan komitmennya untuk menaikkan had umur perkahwinan daripada 16 tahun kepada 18 tahun bagi lelaki dan perempuan susulan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang tidak akan menyokong usul kerajaan untuk menyeragamkan proses tapisan perkahwinan membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, cadangan menaikkan had umur perkahwinan sedang diperhalusi beberapa kementerian dan agensi.

Perkara itu adalah sejajar dengan manifesto Buku Harapan untuk menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi kedua-dua jantina.

Terdahulu, Wan Azizah melakukan ziarah keatas balu Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya di Tumah Kelamin Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Wardieburn di sini hari ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham selain menyatakan bantuan-bantuan lain yang akan turut diberikan oleh pihak ATM buat keluarga tersebut. – MalaysiaGazette