Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin.

NEW YORK – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan minat Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan kerjasama dengan Jabatan Polis Bandar Raya New York (NYPD) dalam soal seperti pertukaran maklumat dan latihan.

Ini dinyatakan beliau kepada pihak NYPD ketika berkunjung ke jabatan polis berkenaan di sini pada Khamis.

“Kita bincang untuk mengadakan memorandum kerjasama antara NYPD dan mungkin ibu pejabat polis kita di Kuala Lumpur.

“Ini kerana ada baiknya kita bertukar-tukar maklumat selain mewujudkan kerjasama dalam bidang latihan, kapasiti bangunan dan lain-lain,” kata Muhyiddin kepada Bernama.

Menteri dari Malaysia itu kini berada di New York bagi meneruskan lawatan kerja beliau ke Amerika Syarikat bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama dalam bidang keselamatan antara kedua-dua negara. Lawatan itu bermula Ahad lepas (15 Sept) di Washington DC.

NYPD adalah jabatan polis bandar raya terbesar dan tertua di Amerika Syarikat dengan mempunyai kira-kira 36,000 pegawai dan 19,000 kakitangan awam.

Ia ditubuhkan pada 1845, dan hari ini bertanggungjawab untuk keselamatan 8.5 juta orang di bandar raya dengan melakukan pelbagai penjagaan keselamatan bagi orang awam, penguatkuasaan undang-undang, pengurusan trafik, mengawal pengganas dan peranan bagi langkah kecemasan.

“Sebagai sebuah kawasan kota metropolitan, nampak pihak NYPD menggunakan tenaga manusia yang agak ramai… serta sistem dan teknologi terkini.

“Sedikit sebanyak pengalaman yang mereka ada dapat kita manfaatkan,” kata Muhyiddin berhubung jalinan kerjasama yang dicadangkan itu.

Beliau dan rombongan turut mengadakan lawatan ke ‘El Dorado Financial Crimes Task Force’ yang bertanggung jawab menangani, antara lain, isu pengubahan wang haram.

“Kami diberi taklimat agak panjang tentang bagaimana mereka tangani masalah ini, isu-isu berkaitan dengannya, pencapaian mereka serta halangan tertentu yang dihadapi,” katanya.

Menurutnya, Malaysia bersedia bekerjasama dengan mereka dalam usaha menangani masalah itu.

Muhyiddin juga mengulas mengenai pertemuan beliau dengan Duta Amerika Syarikat bagi pemerdagangan orang, John Cotton Richmond pada Rabu, hari terakhir lawatan empat hari beliau ke Washington DC sebelum ke New York.

Menteri berkenaan berkata beliau telah mendapatkan pandangan Richmond mengenai bagaimana Malaysia perlu mengambil langkah berkesan berhubung isu pemerdagangan orang.

Muhyiddin berkata, ini penting agar prestasi Malaysia dalam mengendalikan perkara itu dapat diperbaiki lagi.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.