KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang bekerja sebagai Penolong Tadbir Pejabat Istana Negara telah maut dalam kemalangan jalan raya yang berlaku hari ini.

Kejadian dilaporkan berlaku 9 pagi tadi di Lebuhraya Mahameru melibatkan dua buah motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mangsa ialah Nazri Zakaria, 42, dalam perjalanan menuju ke arah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Lebuhraya Mahameru.

“Menurut saksi bebas, kemalangan berlaku apabila mangsa menunggang motosikal berkuasa tinggi Honda dengan laju di lorong paling kanan tiba tiba mengubah haluan ke kiri.

“Mangsa cuba memasuki lorong haluan kiri untuk susur keluar menghala ke DBP sebelum bergesel sebuah motosikal Yamaha 125Z yang datang di lorong paling kiri dan hilang kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat pergeselan itu, mangsa yang berasal dari Sungai Besar Selangor telah hilang kawalan dan terus melanggar pokok di sebelah kiri bahu jalan.

“Kemudian mangsa terus jatuh ke dalam gaung sedalam 15 kaki manakala mangsa motosikal Yamaha 125z hanya jatuh terseret di lorong kiri,” ujarnya.

Menurut beliau, penunggang Yamaha, Abdul Rauf Mansor, 25, yang berasal dari Taman Ria Parit Besar, Batu Pahat, Johor cedera ringan di tangan dan kaki.

Mangsa menerima rawatan di zon hijau Hospital Kuala Lumpur.

Nazri sudah berkahwin telah maut di tempat kejadian dan mayat telah dibawah ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.

Pegawai penyiasat kes berkenaan  adalah Inspektor Vishnuhindran Arumugam dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-MalaysiaGazette