JAKARTA – Sebanyak lima syarikat telah dikenalpasti terlibat dalam kebakaran hutan serta tanah di negara ini menurut Ketua Polis Indonesia, Mohammad Iqbal hari ini.

Portal berita Tempo.Co melaporkan, antaranya adalah anak syarikat Genting Plantations yang akan berdepan dengan kesalahan kecuaian dalam masa terdekat.

Untuk makluman, PT Sepanjang Inti Surya Utama adalah anak syarikat gergasi perladangan Malaysia, Genting Plantations Bhd.

Kata Mohammad Iqbal, ketika ini pihaknya sedang memproses serta menyiasat beberapa aspek bagi membuktikan kesalahan yang dilakukan itu terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan-tindakan susulan.

“Ketika ini kita sedang proses lagi, ada beberapa perkara yang perlukan siasatan menyeluruh terlebih dahulu sebelum kita dakwa suspek untuk pelbagai jenis kesalahan.

“Pihak polis akan telus dan menyiasat dengan terbuka dengan mengambil kira aspek serta mengikut prosedur kesalahan kebakaran hutan dan tanah, ini bukan kes kecil sebaliknya sangat besar,” petik laporan berita itu.

Tempo.Co melaporkan pada Khamis lima syarikat disyaki melakukan kecuaian dalam kebakaran besar-besaran hutan.

Antaranya ialah Lima PT Bumi Hijau Lestari di Sumatera PT, Sumber Sawit Sejahtera di Riau, PT Palmindo Gemilang Kencana di Kalimantan Tengah, PT SAP di Kalimantan Barat, dan PT Sepanjang Into Surya Utama di Kalimantan Barat.

Laporan itu juga memetik sebelum ini,  Ketua Polis Negara Perhubungan Awam, Dedi Prasetyo mendedahkan PT Bumi Hijau Lestari dan seorang daripada pengarahnya dinamakan sebagai suspek kebakaran hutan di Sumatera Selatan.

Sebelum ini, beberapa hari lepas Indonesia menyalahkan empat syarikat dari Malaysia termasuk pengeluar minyak sawit terbesar di dunia sebagai punca kebakaran hutan di negara itu yang membawa kepada keadaan berjerebu di rantau ini.

Malaysia menegaskan Indonesia bertanggungjawab terhadap jerebu yang mengakibatkan kualiti udara jatuh ke tahap yang tidak sihat di beberapa bahagian negara ini. Indonesia menafikan dakwaan itu dengan mengatakan kebakaran di Malaysia yang menyebabkan pencemaran udara.

Menteri Alam Sekitar Indonesia Siti Nurbaya Bakar berkata, Malaysia tidak mendapat gambaran sebenar mengenai kebakaran yang menjejaskan Sumatera dan Borneo sejak lebih sebulan lalu.

Sekurang-kurangnya empat syarikat ladang sawit yang tanahnya telah disita kerana kebakaran merupakan anak syarikat Malaysia dedah Siti Nurbaya kepada Reuters. –MalaysiaGazette