Gambar Ketua Menteri P. Pinang yang turut disertakan maklumat palsu.

GEORGE TOWN – Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Teh Lai Heng hari ini meminta pihak polis untuk menyiasat dalang di sebalik penularan gambar Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang berserta dengan maklumat palsu yang berunsur fitnah mengenai isu pemberian kad pengenalan (MyKad).

Teh berkata Ketua Menteri mahupun Kerajaan Negeri tidak pernah pada bila-bila masa, mengarahkan mana-mana pihak untuk mengeluarkan MyKad kepada mana-mana individu, apatah lagi golongan bukan warganegara.

Menurutnya kenyataan itu merupakan fitnah terhadap Ketua Menteri serta Kerajaan Negeri dan berniat untuk menjatuhkan imej serta nama baik pihak-pihak yang tidak bersalah.

“Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri jelas menghormati Perlembagaan Persekutuan di mana urusan kewarganegaraan adalah jelas di bawah bidang kuasa senarai Persekutuan, dan bukannya senarai bersama mahupun senarai negeri,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut sini hari ini.

Beliau berharap pihak polis dapat menyiasat dengan lebih lanjut agar pihak yang bertanggungjawab terhadap penularan kenyataan itu akan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Teh yang juga merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Komtar berkata kenyataan itu mengandungi gambar Chow dengan kenyataan “Ketua Menteri dan Kerajaan negeri Pulau Pinang mempunyai kuasa mutlak untuk mengurniakan MyKad kepada individu bukan warganegara dan orang luar diminta tidak mencampuri urusan kerajaan negeri.”

Katanya, kenyataan palsu itu telah mula disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp sejak semalam.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Yap Lee Ying turut menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan urusan kewarganegaraan adalah di bawah Senarai Persekutuan, bukan Senarai Bersama mahupun Senarai Negeri.

“Justeru, saya mewakili Ketua Menteri ingin menafikan sekeras-kerasnya fitnah pihak tidak bertanggungjawab ini yang jelas bertujuan untuk memburuk-burukkan imej serta nama baik Ketua Menteri dan kerajaan negeri,” katanya.

— BERNAMA