Khalid Samad

KUALA LUMPUR – Pemilik tanah di Kampung Bharu ditawarkan RM6 juta bagi lot 8,000 kaki persegi untuk pembangunan semula.

Ia melibatkan harga RM850 setiap kaki persegi dan ia tidak termasuk nilaian harga struktur bangunan di atas tanah yang akan dikaji semula oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata demikian ketika mengumumkan perkara itu dan memaklumkan kerajaan menawarkan kadar maksimum berdasarkan penilaian harga dibuat JPPH.

“Kajian mendapati harga tanah di sini ialah antara RM650 hingga RM850 bagi satu kaki persegi. Justeru, kita menawarkan harga maksimum RM850.

“Semua akan dibayar pada harga sama tanpa mengira sama ada tanah itu berhampiran jalan atau di lapisan mana.

“Cuma, harga struktur bangunan akan dibayar pada harga lain,” katanya ketika sesi soal jawab bersama penduduk di Majlis Town Hall Pembangunan Kampung Baru di Dewan Perdana Felda, di sini hari ini.

Majlis berkenaan dihadiri lebih 2,000 daripada 6,971 waris dan pemilik menghadiri program itu untuk mendengar penjelasan mengenai tawaran mendapatkan tanah bagi tujuan pembangunan semula.

Khalid berkata, hanya 154 ekar (62.32 hektar) daripada keseluruhan jumlah 302 ekar (122.215 hektar) tanah di Kampung Baru, di sini, akan dibangunkan semula dengan membabitkan 837 lot tanah.

Kerajaan menawarkan empat pilihan kepada pemilik dan pewaris tanah dalam proses pembangunan semula berkenaan, iaitu sama ada untuk mengambil tunai; memiliki rumah unit siap; mengambil tunai dan unit siap; atau mengambil pulangan sebagai pemegang saham dalam pembangunan semula.

“Tawaran jual beli ini adalah berdasarkan lot tanah dan bukannya setiap pemilik yang berdaftar.

“Kerajaan memberi jaminan, pemilikan tanah di sini akan tetap menjadi hak milik Melayu tanpa kompromi,” katanya.- MalaysiaGazette