Muhyiddin Mohd Yassin

NEW YORK – Negara maju perlu bersama menanggung sebahagian kos menguruskan pelarian yang berada di negara seperti Malaysia bagi membantu meringankan beban yang ditanggung dalam soal itu.

Ini ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan pihak Pertubuhan Antarabangsa Mengenai Migrasi (IOM) yang merupakan antara atur cara lawatan kerja beliau ke bandar raya ini.

Muhyiddin berkata, beliau menjelaskan bahawa Malaysia perlu mengutamakan ramai rakyatnya yang masih memerlukan bantuan kerajaan, namun pada masa sama terpaksa berdepan dengan isu pelarian seperti melibatkan etnik Rohingya dari Myanmar.

“Saya telah menyarankan agar IOM mengangkat perkara ini ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar negara maju berkongsi dengan negara seperti Malaysia dalam soal kos menyediakan kemudahan kesihatan, pendidikan dan sebagainya kepada golongan berkenaan,” katanya.

Muhyiddin bercakap kepada Bernama pada Sabtu di akhir lawatan kerjanya ke Washington DC dan New York bertujuan mengukuhkan jalinan kerjasama keselamatan antara Malaysia dan Amerika Syarikat, bermula 15 September lalu.

Muhyiddin berkata, IOM harus mengambil kira beban yang ditanggung Malaysia dalam menguruskan pendatang dan pelarian, dan hakikat ia berbuat demikian agar tidak dituduh negara tidak bertanggungjawab.

Beliau menarik perhatian bahawa walaupun Malaysia tidak menyertai Suruhanjaya Tinggi PBB Bagi Pelarian (UNHCR), ia tetap membantu pelarian atas dasar perikemanusiaan.

Malaysia dilaporkan mempunyai sejumlah 180,000 pelarian, dan bilangan itu dikatakan kian meningkat.

Muhyiddin membuat pengamatan banyak negara maju yang menempatkan pelarian di negara mereka sebelum ini, kini bertindak mengurangkan jumlah pengambilan bagi tujuan berkenaan.

Beliau seterusnya berkata, Malaysia akan mengkaji kewajaran negara menyertai IOM seperti yang dibangkitkan dalam pertemuan dengan Pengarah IOM Ashraf El Nour.

“Perkara ini disuarakan sejak dulu tapi belum diluluskan kerajaan Malaysia. Jadi kami akan kaji lebih mendalam kewajaran kami berbuat demikian,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau berpuas hati dengan lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat (AS) yang disifatkan sebagai berjaya.

Lawatan itu antara lain dipenuhi dengan pertemuan bersama pegawai atasan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, Agensi Perisikan Pusat (CIA), Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman AS.

Muhyiddin turut mengunjungi agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS, Pusat Saringan Pengganas dan Jabatan Polis Bandar Raya New York (NYPD).

Beliau menjadi tumpuan pada forum kepimpinan anjuran Centre for Strategic and International Studies (CSIS) dan berinteraksi dengan diaspora Malaysia di Washington DC dan New York.

“Dapat disimpulkan bahawa pihak AS cukup berminat untuk bukan setakat meneruskan kerjasama dengan pentadbiran baharu iaitu kerajaan Pakatan Harapan (PH) malah membawanya ke tahap lebih tinggi,” kata Muhyiddin.

Menurutnya, ia satu petanda mereka amat berminat memperkukuh kerjasama di bidang seperti keselamatan, pertahanan, ekonomi dan sebagainya.

“Ada yang membangkitkan supaya lawatan dari Malaysia sebegini dilakukan lebih kerap bagi menjelaskan dasar dan pendirian negara,” kata Muhyiddin sambil menambah beliau sempat berbuat demikian dalam sesi pertemuan yang diatur bersama rakyat Malaysia di kedua-dua bandar raya itu.

“Antara lain, saya menjelaskan tentang hala tuju kerajaan PH, masa hadapan negara dan Wawasan Kemakmuran Bersama.

“Nampak mereka cukup berminat dan menyatakan sokongan termasuk dalam soal membanteras rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya,” ujar beliau. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.