Takiyuddin Hassan

SERI KEMBANGAN – Semua mufti di negara didesak agar mengeluarkan fatwa berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, baru-baru ini.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, parti itu mahu mufti segera mengeluarkan fatwa masing-masing berhubung kata-kata Muhajid yang menggambarkan penyatuan ummah oleh UMNO dan Pas sebagai ‘perlumbaan ke neraka.’

“Kita akan minta pihak Mufti buat fatwa kerana mereka kini di bawah PH. Kita akan minta Mufti buat fatwa tentang apa hukumnya orang Islam yang buat kenyataan seperti itu.

“Ini bukan orang biasa, tapi menteri yang jaga hal ehwal agama. Kita serahkan kepada pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Khamis lalu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, gagasan Rahmatan Lil Alamin tidak berhasrat menandingi konsep penyatuan ummah yang dianggapnya sebagai pertandingan ke neraka, sebaliknya beliau mahu pertandingan ke syurga.

“Dia bukan pertandingan, ia tentang satu dasar yang mahukan negara ini maju ke depan.

“Jadi saya tiada hasrat dan keinginan langsung untuk menyaingi perkara yang bagi saya pertandingan ke neraka tapi saya mahu pertandingan ke syurga,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama sempena Seminar Antarabangsa Rahmatan Lil Alamin di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), minggu lalu.

Dua hari kemudian, Pejabat Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri itu mengeluarkan kenyataan menegaskan, perkataan ‘neraka’ yang disebut menterinya, Datuk Seri Dr Mujahid tidak merujuk kepada mana-mana parti.

Sebaliknya pejabat Muhajid berkata, perkataan itu bermaksud, konsep Rahmatan Lil Alamin bukan satu pertandingan atau persaingan terhadap Perpaduan Ummah, kerana perkara itu boleh menyebabkan pergeseran yang membawa ke neraka, bukannya ke syurga. – MalaysiaGazette