KUALA LUMPUR – Affin Hwang Asset Management Bhd (Affin Hwang AM) meraih lebih RM100 juta dalam tempoh tiga hari pertama sejak pelancaran dana pendapatan tetap tertutup borong terbarunya.

Dana ke-14 dalam siri dana pendapatan matang fleksibelnya, Dana 14 Pendapatan Matang Fleksibel Affin Hwang bertujuan menyediakan pendapatan tetap menerusi pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap pada asas tahunan.

“Sejak siri itu mula ditawarkan pada 2009, syarikat telah meraih lebih RM4 bilion menerusi 28 trance yang sama sebelum ini dan mengekalkan rekod baik tanpa kegagalan pembayaran dalam bon dan pemilihan kredit sepanjang siri itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk mencapai objektif pelaburannya, dana itu akan melabur minimum 70 peratus daripada nilai aset bersih (NAV) dalam instrumen pendapatan tetap dan baki yang tinggal dalam dana NAV adalah tunai, derivatif dan atau produk berstruktur.

“Dana itu mempunyai tempoh lima tahun dengan portfolio sasaran pulangan sebanyak 4.50 peratus-5.0 peratus setahun apabila matang,” kata Affin Hwang AM.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengedaran, Chan Ai Mei berkata permintaan kukuh dapat dilihat bagi dana itu mencerminkan keadaan pasaran yang turun naik dan keperluan pelaburan kepada pendapatan yang konsisten dan stabil.

Rekod sejarah yang baik dan kukuh dengan ansuran dana pendapatan matang fleksibel di masa lepas dengan rekod kadar deposit tetap yang cemerlang dan konsisten turut menjadi tarikan kepada siri itu, terutamanya sumber pendapatan yang menyediakan pulangan boleh diramalkan dalam portfolio.

“Dalam industri ini, pelabur tertarik kepada produk sasaran matang seumpama itu kerana ia menjmain pembayaran dan penetapan tempoh membolehkan mereka merancang keperluan mudah tunai untuk memenuhi obligasi kewangan masa depan.

“Kami yakin dapat meraih lebih RM200 juta untuk dana ini apabila tempoh tawaran permulaan (IOP) ditutup berdasarkan faktor berkenaan’’, katanya.

Dana itu sesuai untuk pelabur yang mempunyai tempoh pelaburan lima tahun dan toleransi risiko sederhana dengan jumlah pelaburan minimum RM10,000. – MalaysiaGazette