Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sambil diiringi Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Siti Fatimah Daud (empat kanan) bergambar kenangan dengan penerima-penerima watikah Ahli Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan pada Majlis Penyerahan Watikah Ahli Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan di Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 23 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan menggerakkan semula Lembaga Rayuan (Perancangan) dan Lembaga Penasihat (Perancangan) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dengan fungsi dan peranannya dikemaskini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, walaupun kedua dua entiti itu telah diwujudkan sebelum ini namun ia tidak berperanan aktif dalam melengkapkan sistem tadbir urus perancangan.

“Kerajaan selepas menyedari cabaran dan isu perbandaran khususnya di Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian wilayah telah mengambil langkah proaktif dengan menggerakkan semula dan mengemaskini fungsi dan peranan kedua dua lembaga berkenaan bagi memastikan Matlamat Pembangunan Mampan, Kesejahteraan rakyat dan Kemakmuran Bersama dicapai.

“Ia akan memastikan kementerian menyelia dan memastikan tadbir urus berkaitan proses dan prosedur kelulusan perancangan bandar berada dalam tahap teratur dan cekap serta berintegriti.

“Kedua dua lembaga berkenaan akan berperanan sebagai satu ‘mahkamah perancangan’ untuk mendengar dan mempertimbangkan kes kes berkaitan dengan perancangan bandar dan menjadi platform memudahkan pihak-pihak yang terkilan mengemukakan rayuan sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan pihak berkuasa tempatan termasuk pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada  majlis penyerahan watikah welantikan anggota kedua dua entiti itu hari ini.

Kedua dua entiti itu diwujudkan mengikut Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982(Akta 267).

Enam orang ahli yang terdiri daripada golongan profesional dan berpengalaman dalam bidang masing-masing akan membantu kerajaan Persekutuan dalam perancangan bandar.

Khalid berkata, mereka akan menambah nilai dan pengukuhkan sistam tadbir urus perancangan bandar khususnya di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Kkalid memberitahu, Lembaga Rayuan iakan mengendalikan kes kes pemaju yang gagal dalam rayuan terakhir yang dilakukan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam mendapatkan pertimbangan dan kelulusan projek.

“Tempoh maksimum Lembaga Rayuan Perancangan ini akan bermesyuarat dan meneliti rayuan adalah 30 hari, kerana kita mengambil kira segala kos dan perancangan projek yang pihak pemegang taruh perlu ditanggung supaya tidak mengalami kelewatan sementara menunggu rayuan.

“Bagi kawasan WPKL iaitu pentadbiran DBKL, sejumlah 59 kes rayuan telah didaftarkan setakat ini yang mana sesi pendengaran dan perbicaraan pertama akan berlangsung pada 1 dan 2 Oktober ini di Mahkamah Kuala Lumpur,” katanya. – MalaysiaGazette