Proton X70
X70 antara penyumbang jualan Proton.

KUALA LUMPUR – Proton terus menguasai industri automotif dengan menjadi satu-satunya jenama kereta yang mencatatkan pertumbuhan jualan lebih tinggi, disokong oleh model popularnya, Proton X70 serta Proton Saga, Iriz dan Persona yang berwajah baharu.

Ini berikutan penarafan neutral yang dikekalkan ke atas sektor automotif oleh Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu, dalam nota hari ini berkata, prestasi bulan ke bulan sektor automotif tidak berubah dengan hanya Proton mencatatkan pertumbuhan bulan ke bulan jualan lebih tinggi dengan ketara.

Bagaimanapun, jualan tahun ke tahun sektor itu merosot berikutan pasaran menunggu kempen promosi yang lebih baik.

“Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jumlah jualan industri bagi Ogos 2019 mencatatkan jualan sebanyak 51,148 unit. Jualan tahun ke tahun mencatatkan penurunan berikutan kesan asas tinggi daripada tempoh bebas cukai dari 1 Jun hingga 31 Ogos, 2018,” katanya.

Katanya hanya Perodua mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang positif disebabkan asas yang rendah pada tahun lepas berikutan kekangan bekalan untuk Myvi serba baharu yang popular.

Katanya, model nasional terus mendahului dan Perodua terus menerajui kumpulan model nasional dengan bahagian pasaran lebih tinggi sebanyak 41 peratus berbanding prestasi dalam tempoh lapan bulan tahun lepas (8M18) sebanyak 37 peratus.

“Ini diikuti Honda dan Proton berada pada kedudukan sama. Honda mencatatkan bahagian pasaran lebih rendah sebanyak 15 peratus (8M18: 18 peratus) dengan pertumbuhan jualan lebih rendah (-21 peratus tahun ke tahun) berikutan pengguna menangguhkan pembelian, menjangka model baharu pada separuh kedua tahun ini, yang tertangguh disebabkan masalah kelulusan harga,” katanya.

Sementara itu, Proton, yang mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 37 peratus, meraih bahagian pasaran lebih tinggi sebanyak 15 peratus (8M18: 11 peratus) disebabkan penghantaran Proton X70 serba baharu yang tinggi, dan turut disokong oleh model sedia ada yang berwajah baharu. – MalaysiaGazette