Mohd Haniff Khatri Abdulla

SHAH ALAM – Prosiding permohonan komital yang difailkan bapa Muhammad Adib Mohd Kassim terhadap Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung punca kematian mangsa yang sedang berjalan ketika ini, tidak akan mengganggu keputusan kes inkues kematian anggota bomba itu pada Jumaat ini.

Peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Mohd Haniff Khatri Abdulla berkata keputusan inkues tetap akan diteruskan walaupun Mahkamah Koroner telah membenarkan permohonan komital tersebut pada 27 Ogos lepas.

“Prosiding komital akan tetap berjalan kerana ia tidak akan menjejaskan keputusan inkues.

” Saya jelaskan perkara ini supaya orang ramai tidak terkeliru kerana keputusan inkues dan permohonan komital ini merupakan dua perkara berbeza,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah di sini, hari ini. Terdahulu, dalam prosiding permohonan komital di hadapan Koroner Rofiah Mohamad, Peguam Kanan Persekutuan, S. Narkunavathy yang mewakili Peguam Negara memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan satu notis rayuan terhadap keputusan berhubung membenarkan komital terhadap Tommy.

Narkunavathy berkata Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa rayuan yang difailkan pihaknya terhadap permohonan membenarkan kes komital terhadap Tommy yang sebelum ini ditetapkan sebagai rayuan sivil, telah ditukar kepada rayuan jenayah.

“Justeru, Mahkamah Koroner perlu menyediakan alasan penghakiman bertulis (keputusan membenarkan prosiding komital terhadap Peguam Negara) kepada Mahkamah Tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, Rofiah kemudian menetapkan 7 Oktober ini untuk pengurusan kes komital berkenaan.

Pada 16 Julai lepas, bapa Muhammad Adib, anggota bomba yang maut dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lalu, Mohd Kassim Abdul Hamid, memfailkan permohonan perintah komital terhadap Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

— BERNAMA