KUALA LUMPUR – Seramai 306 orang pelajar Malaysia yang berada di Pekanbaru dan Jambi di Indonesia akan dievakuasi daripada kawasan yang diisytihar darurat akibat jerebu.

Dalam satu kenyataan, Unit Komunikasi Korporat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memberitahu, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat bersama Wisma Putra dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diadakan pagi tadi.

Menurut kenyataan itu, daripada jumlah tersebut, seramai 165 orang akan dibawa pulang ke Malaysia manakala baki 141 orang lagi akan dievakuasi ke Dewan Malaysia di Jakarta untuk urusan visa.

“Para pelajar yang akan dihantar pulang ke Malaysia akan menggunakan pesawat komersial bagi mempercepatkan proses evakuasi.

“Manakala, baki 141 orang pelajar lagi akan berpindah menggunakan pesawat tempatan ke Jakarta dan akan berada di pusat evakuasi Dewan Malaysia (Malaysia Hall) sehingga keadaan pulih (tempoh darurat 23 hingga 31 September 2019),” demikian menurut NADMA.

Katanya lagi, kumpulan pelajar yang akan tinggal itu adalah mereka yang perlu memulakan permohonan visa semula yang akan mengambil masa agak lama dan ada juga sebilangan yang merupakan pelajar baru dan masih menunggu kelulusan permohonan Kartu Izin Tinggal Sementara (KITAS) daripada pihak Imigresen Indonesia.

Tambahnya, hasil kerjasama mantap semua pihak yang terlibat, kerajaan Malaysia yakin akan dapat mengeluarkan semua rakyat Malaysia yang terkesan di kawasan darurat jerebu tersebut dengan kadar segera. – MalaysiaGazette

Jerebu: Misi bawa pulang pelajar Malaysia di Pekanbaru