Situasi jerebu di Jambi. foto Agensi

KUALA LUMPUR – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengadakan mesyuarat pagi ini bagi membincangkan operasi membawa pulang seramai 160 pelajar Malaysia yang berada di Pekanbaru dan Jambi selepas terjejas masalah jerebu.

Menerusi kenyataan Unit Komunikasi Korporat agensi berkenaan, mesyuarat tersebut melibatkan Kementerian Luar Negeri dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut kenyataan itu, Konsul Jeneral Malaysia di Pekanbaru dan Pendidikan Malaysia Indonesia memaklum terdapat 280 pelajar (183 di Pekanbaru dan 97 di Jambi) akan dievakuasi daripada kawasan darurat tersebut di mana 160 akan dibawa pulang ke Malaysia manakala 120 akan dievakuasi ke Dewan Malaysia di Jakarta bagi urusan visa.

“Gabenor Riau, Indonesia telah mengistiharkan darurat bermula 23 September hingga 31 Oktober 2019 dan akan dilanjutkan jika keadaan pencemaran udara tidak berubah.

“Pengumuman ini dibuat apabila keadaan jerebu di Riau sejak tiga hari lalu semakin merosot dimana sejak pagi Isnin asap tebal telah menyelubungi ibu negeri Pekanbaru itu,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, Sehingga semalam jarak penampakan adalah 500 meter dengan bacaan 600 Polution Standard Index (PSI).

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia sehingga 23 September 2019, terdapat 1,591 titik panas menunjukkan kebakaran merentasi Pulau Sumatra dan Sumatera Selatan mencatatkan jumlah hotspot tertinggi iaitu 675 diikuti 505 di Jambi dan 256 di Riau, ujarnya. – MalaysiaGazette