Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan Di Malaysia 'Takrifan dan Pelaksanaan' di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempertimbangkan semula ukuran baharu kadar kemiskinan di negara ini.

Menurut beliau, perkara itu penting kerana tiba masanya untuk meletakkan kadar lebih tinggi untuk takrifan kemiskinan di dalam negara.

“Kita ada konsensus menggesa kerajaan letakkan kadar lebih tinggi kerana Tun Dr Mahathir buat perakuan sedia timbang pandangan baru tentang ukuran kadar kemiskinan,” katanya ketika berucap pada Seminar Ekonomi Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia, di Parlimen, hari ini.

Presiden PKR itu berkata, kaedah meninggikan taraf kemiskinan di negara ini akan membolehkan jurang antara miskin dan kaya dikurangkan.

Sebagai contoh, Anwar berkata, keuntungan syarikat mega dalam perniagaan dibolot segelintir rakyat dalam kumpulan berpendapatan tinggi atau dikenali sebagai T20.

Malah katanya, pendapatan kumpulan berpendapatan rendah (B40) meningkat secara tidak selari dengan peningkatan ekonomi negara.

“Pendapatan pekerja nelayan, petani, peladang tak meningkat sesuai dgn peningkatan ekonomi negara.

“Peningkatan kos sara hidup bagi golongan umum, pendapatan itu lebih dari perbelanjaan, tetapi bagi B40, pendapatan sekarang ini kurang daripada perbelanjaan.

“Maknanya hutang meningkat, yang menyedihkan oleh kerana pendapatan tak dapat dikejar, apa yang berlaku mereka kurangkan belanja dalam bidang makanan di rumah, kualiti makanan turun, pengangkutan turun, makan di luar turun, masa cuti turun,” katanya.

Semalam Anwar berkata, fakta bahawa kerajaan Barisan Nasional dahulu berjaya menangani kemiskinan adalah fakta yang tidak tepat.

Sebaliknya, Anwar berkata, BN telah gagal memperjuangkan isu kemiskinan meskipun kerajaan ketika itu membelanjakan berbilion ringgit untuk membasmi kemiskinan. – MalaysiaGazette