Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bercakap kepada media pada Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan Di Malaysia 'Takrifan dan Pelaksanaan' di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu membuat rundingan semula mengenai kos pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ini kerana katanya, terdapat perkembangan baharu mengenai kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mahkamah yang diberikan saksi-saksi pada perbicaraan kes itu.

“Oleh kerana ada beberapa keterangan baru yang dibangkitkan, ada ruang untuk berunding itu yang saya sebut.

“Ruang untuk berunding tentang kos, tapi setelah itu di mahkamah dalam pengakuan kenyataan bersumpah disebut bahawa sebahagian kos itu diambil untuk bayar hutang 1MDB, jadi kita perlu tahu di mana dan berapa,” katanya dalam sidang media selepas Seminar Ekonomi Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia, di Parlimen, hari ini.

Ditanya samada beliau bersetuju dengan penyambung semula projek berkenaan, Anwar berkata, projek berkenaan telah diteruskan dan tidak perlu untuk dihentikan.

“Projek ECRL telah dimulakan jadi soal tidak setuju tidak berbangkit,” katanya.

Anwar merujuk kepada kenyataan bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin di mahkamah baru-baru yang berkata ECRL merupakan sebahagian daripada rundingan dengan China untuk menyelamatkan 1MDB.

Amhari yang merupakan saksi dalam perbicaraan kes rasuah 1MDB berkata, beliau diarahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk terlibat dalam perbincangan pelaburan China-Malaysia bagi menyelamatkan 1MDB.

Projek-projek yang Amhari maksudkan adalah ECRL, Saluran Paip Pelbagai Bentuk (MPP) dan Saluran Gas Paip Trans Sabah (TSGP). – MalaysiaGazette