Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Seri Syed Hussein Syed Al-Habshee (tengah) berbincang sesuatu bersama barisan kepimpinan tertinggi DPMM selepas sidang media mengenai perkembangan DPMM dan isu semasa di Pejabat DPMM, Bukt Damansara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyifatkan tindakan kerajaan yang menawarkan RM850 satu kaki persegi tanah Kampung Bharu bertentangan dengan manifesto pilihan raya lalu.

Setiausaha Agungnya, Amir Hamzah menegaskan, penawaran pembelian tanah itu bukan sahaja di bawah nilai semasa bahkan menyebabkan orang Melayu kehilangan tanah rizab yang diwarisi berpuluh tahun lalu.

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan sepatutnya menggunakan pendekatan lain dalam pembangunan semula Kampung Bharu, bukan lagi menerusi pembelian sebaliknya melalui pajakan tanah.

“Ikut penilaian yang dulu semasa kempen yang dilaksanakan pentadbiran lepas nilainya RM2,000 untuk satu kaki persegi. Jadi nilai sekarang masih jauh.

“Kenapa tanah-tanah Melayu ini perlu dijual? Kaedah kedua yang ada ialah tanah Melayu ini boleh dipajak. Kerajaan boleh memajak daripada tuan-tuan punya tanah selama 60 tahun dan boleh dibangunkan.

“Barulah seperti yang dihasratkan dalam manifesto PH itu untuk mengekalkan kepunyaan orang Melayu agar sentiasa kekal,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DPMM di sini hari ini.

Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Amirhamzah Karim bercakap kepada media mengenai perkembangan DPMM dan isu semasa di Pejabat DPMM, Bukt Damansara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 SEPTEMBER 2019

Sabtu lalu, kerajaan menawarkan untuk membeli tanah di Kampung Bharu di sini dengan kadar RM850 bagi setiap satu kaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula kawasan tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, tawaran tersebut merupakan kadar tertinggi dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja.

Amir juga menegaskan, isu pembelian tanah-tanah rizab Melayu sepatutnya tidak berlaku lagi atas apa jua alasan termasuk pembangunan semula kawasan Kampung Baru.

“Perkara ini sepatutnya tidak berlaku lagi kepada tanah-tanah rizab Melayu. Keadah yang patut digunakan ialah kaedah pajakan.

“Kaedah itu paling sesuai sekali supaya tanah-tanah rizab Melayu ini kekal dalam keadaan rizab Melayu.

“Pewarisan tanah rizab Melayu ini sentiasa kekal sampai bila-bila. Saya rasa pandangan yang kerajaan gunakan hari ini sepatutnya bertukar,” katanya.

Katanya lagi, walaupun kerajaan boleh memajak tanah Kampung Baru untuk tempoh 60 tahun, namun hak milik tanah tersebut masih terpelihara sementara pembangunan pula boleh dilakukan.

“Bila dipajakkan, ia boleh dibeli sesiapa saja pun tapi dalam tempoh 60 tahun digunakan dan boleh diteruskan.

“Kepunyaan tanah tersebut tidak bertukar tangan, masih kekal kepada tuan punya tanah dan selepas tempoh pajakan tamat, ia kembali balik (tuan tanah),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tawar RM6 juta bagi lot 8,000 kaki persegi di Kampung Bharu