Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan keyakinan bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tangjung Piai, Johor akan memihak kepada penyatuan Pas-UMNO.

Menurut beliau, pertembungan tiga penjuru sudah diketepikan dengan berlakunya penyatuan antara kedua-dua parti itu.

“Tanjung Piai akan datang ini, UMNO dapat 20,000 undi dan PH dapat 21,000 undi. Pas dapat 3,000 undi, kalau tidak ada Pas (pertembungan tiga penjuru), kita boleh menang,” katanya ketika hadir sebagai ahli panel Forum Keterlibatan Mahasiswa Dalam Politik dan Masyarakat di Dewan Perdana 1, Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya (UM), sebentar tadi.

Jelasnya, penyatuan ummah yang dinamakan Muafakat Nasional perlu untuk memastikan kaum Melayu tidak terus berpecah.

Katanya, disebabkan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), maka kedua-dua parti mengalami kekalahan yang teruk.

“Untuk menyusun strategi kita tidak boleh mengenepikan bagaimana kita kalah. Kalau tidak nanti kita tersasar, makanya antara strategi yang telah kita tetapkan kerana kita kalah sebab orang Melayu berpecah belah.

“Dua parti terbesar, UMNO dan Pas bersaing. Bila ada persaingan, banyak kerusi yang menang percuma kepada PH. Kalau tidak ada pertembungan tiga penjuru ini, 30 kerusi Parlimen kita tidak akan kalah,” katanya lagi.

Muafakat Nasional yang dimeterai oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang direncanakan bagi mengembalikan semula kekuatan Melayu Islam yang lemah selepas PRU14.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya menuding jadi sesama sendiri ekoran perpecahan yang berlaku dan muhasabah diri dengan apa yang berlaku.

“Jangan asyik tuding diri kepada orang sahaja. Itu sebabnya orang Melayu pecah belah.

“UMNO dan Pas kena bekerjasama bagi menghadapi PRU15, dengan adanya kerjasama itu nanti memperlihat di PRK Semenyih, Cameron Highlands kita menang,” katanya lagi.

PRK Tanjung Piai bakal diadakan bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia di Hospital Pontian, Johor, awal pagi kelmarin akibat serangan penyakit jantung.

Dr Md Farid juga memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA), dengan majoriti 524 undi. -MalaysiaGazette