Wan Sukairi Wan Abdullah

KUALA LUMPUR – Tindakan sebuah akhbar berbahasa Cina yang mengeluarkan laporan salah serta menyunting gambar Presiden Pas dan Presiden UMNO dalam keadaan mengaibkan dilihat lari daripada etika kewartawanan.

Ketua Penerangan Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kebebasan bersuara bukan tiket untuk setiap orang yang waras menyebarkan mesej yang salah apatah lagi menjadi alat untuk mengugat keharmonian masyarakat.

Katanya, tindakan akhbar terbabit ternyata mempunyai makna yang lain kerana rata-rata warganet tanpa mengira parti atau kaum mengecamnya.

“Muafakat Nasional di antara Pas dan UMNO telah mendapat liputan luas sama ada dalam mahupun luar negara. Jika kita perhatikan akhbar luar seperti al-Jazeera ternyata lebih beretika dan bersifat profesional dalam membuat liputan.

“Tapi apa yang malang bagi kita di Malaysia ini ialah apabila akhbar berbahasa Cina ini ternyata gagal mempamerkan etika kewartawan yang boleh dihormati. Apakah ini yang cuba ditonjolkan di era Malaysia Baru? Dengan mengubah gambar Presiden dan menyediakan laporan yang salah?” soal beliau menerusi kenyataan hari ini.

Wan Sukairi berkata, kerjasama Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional bukan kerana politik semata-mata tetapi ia merupakan ambisi yang lebih besar sebagaimana yang termaktub dalam piagam yang telah ditandatangani oleh kedua-dua presiden parti Melayu Islam terbesar itu.

Tambah beliau, kerjasama tersebut bagi mengembalikan keadilan dan kestabilan negara yang tergugat setelah Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pentadbiran.

Justeru, beliau menggesa agar permohonan maaf dilakukan dengan segera dan menyokong penuh usaha Setiausaha Agung Pas untuk mengambil tindakan perundangan terhadap akhbar berbahasa Cina itu.

“Apa-apa tindakan yang bakal mengundang huru-hara dalam masyarakat perlulah dikekang dengan segera apatah lagi bila ia melibatkan akhbar yang mana rata-rata pembaca akhbar ini mungkin mendapat gambaran palsu terhadap kerjasama Pas dan UMNO.

“Kami berharap agar semua pihak dapat merujuk kepada Jawatankuasa Muafakat Nasional terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan yang berbau fitnah sehingga akhirnya berdepan dengan tindakan yang merugikan. – MalaysiaGazette