Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan beliau tidak pernah mendesak anak-anaknya untuk memilih bidang tertentu untuk menjamin masa depan mereka.

Bagaimanapun Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mad hanya menekankan agar cukup sekadar menjadi orang baik dan membalas balik jasa negara kepada mereka.

“Saya tak pernah mendesak anak saya mesti jadi jurutera, doktor ataupun arkitek.

“Pesan saya cukup balas balik masyarakat kepada kita, balas balik jasa negeri kepada kita, balas balik jasa negara kepada kita.

“Sebab kita beruntung kita lahir dalam negara yang aman. Cuba bayangkan kita lahir di Syria atau dalam penduduk Rohingnya.

“Tanggungjawab kita balas balik kepada negara, buat baik, tambah nilai, jangan diruntuhkan, nak runtuh senang,” katanya berucap pada Forum Keterlibatan Mahasiswa Dalam Politik dan Masyarakat di Universiti Malaya, di sini, hari ini.

Mohamad juga berkata, ketika zaman kolejnya, setiap kali cuti semester, beliau bersama kesatuan pelajar akan masuk ke kampung-kampung untuk memberi kelas percuma.

“Bila cuti penggal, seluruh Negeri Sembilan akan buat khemah, kerjanya ajar adik-adik.

“Di situ mendewasakan kita, mereka dahagakan ilmu, kita hadir beri mereka semangat dan jadikan mahasiswa sebagai idola mereka.

“Belajar bagi balik kepada negara, jangan kita jadi tamak kepada ilmu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad menafikan persepsi umum bahawa politik itu kotor sedangkan ia dilihat begitu kerana pengamal politik sendiri tidak beretika.

“Politik sangat kotor… Tidak… Politik ini plot cerita, politik dalam hidup.

“Politik tak kotor, tapi pengamalnya tidak beretika. Saya tak suka maki hamun orang. Hidup saya hanya suka tengok kebaikan,” katanya.

Mohamad turut menasihatkan mahasiswa universiti di negara ini agar menggunakan sebaik-baiknya kebebasan pelajar dalam kampus.

“Kerajaan sekarang beri sedikit ruang, gunakan ruang kebebasan dengan baik dalam universiti.

“Cukup sudah anak Malaysia disuap makan, kena fikir bijak dengan baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette