Saksi iaitu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Hanya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sahaja mempunyai kuasa mutlak dan boleh mengeluarkan sebarang arahan kepada Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Begitu kenyataan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ahli Lembaga Pengarah (BOD), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam perbicaraan kes berprofil tinggi 1MDB yang sudah masuk hari ke-13 hari ini.

Katanya, semua tindakan yang hendak diambil oleh BOD perlu bersandarkan kepada kehendak Najib yang diberikan olehnya secara terus atau melalui ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Malah Shahrol mendakwa dirinya sendiri tidak mempunyai akses secara terus dengan Najib sebaliknya perlu melalui Jho Low.

“Keahlian dalam BOD syarikat usahasama antara 1MDB dan PetroSaudi International (PSI) juga perlu mendapat kelulusan daripada Najib sebenarnya.

“Ketika mesyuarat dengan Lembaga Penasihat 1MDB yang diketuai oleh Najib, saya telah memaklumkan isu penilaian semula usahasama antara medua-dua syarikat sebagaimana yang ditimbulkan okeh PSI.

“Walaupun Najib mengambil maklum perkara yang disampaikan namun beliau berpendapat bahawa penilaian semula terhadap aset yang dicadangkan oleh BOD tidak perlu dilakukan kerana kesan risiko ke atas hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Beliau turut memaklumkan bahawa keahlian BOD syarikat usahasama perlu mendapatkan maklum balas beliau terlebih dahulu. Setiap mesyuarat ini dilakukan secara bertulis dan berekod tetapi pada masa sama ia hanya berdasarkan kepada kehendak dan mandat Najib yang diberikan secara langsung atau melalui Jho Low,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membaca penyataan dan disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan kini sedang berdepan dengan penyewelengan dana sebanyak RM2.3 bilion dan 25 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan ketika masih menjawat jawatan berkenaan.

Perbicaraan sedang berjalan ketika ini. – MalaysiaGazette