Saksi iaitu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan penyewelengan dana sebanyak RM2.3 bilion yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masuk hari ke-13 hari ini.

Saksi kesembilan, bekas  Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan menyambung kenyataan saksinya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Semalam, antara pendedahan yang didakwa oleh Shahrol termasuk bagaimana mantan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) merangkap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika itu murka dengan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) terbitan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA).

Baginda juga bertindak mengarahkannya digantung dan terbitannya ditangguhkan sehingga syarat dalam resolusi dipatuhi.

Menurut Shahrol, ketika berada di Istana Terengganu itu, Sultan Mizan ada menggunakan frasa unsavoury character (seseorang yang tidak disenangi) tetapi tidak pasti frasa itu merujuk kepada siapa.

Selain daripada itu, Shahrol juga dalam penyataan saksi berkata, Najib melalui ahli perniagaan dikehendaki polis, Low Taek Jho atau Jho Low mengarahkan supaya TIA Berhad menukar penandatangan akaun syarikat melalui resolusi yang sah.

Arahan itu susulan peletakan jawatan adinda Sultan Terengganu, Tengku Datuk Rahimah Puteri al-Marhum Sultan Mahmud sebagai pengarah TIA melalui surat bertarikh 27 Mei 2009 yang ditujukan kepada ahli lembaga pengarah (BOD) TIA.

Malah ketika soal balas dengan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram secara selang seli, Shahrol mendedahkan beliau bersama Jho Low telah mendrafkan surat  berkaitan isu-isu TIA kepada Najib.

Surat itu dakwa Shahrol telah dikarang dalam bilik tidur Jho Low di 3, Kia Peng, Kuala Lumpur 27 Mei 2009.

Shahrol mendakwa walaupun surat itu telah didraf olehnya dan Jho Low selain ditandatanganinya namun dirinya tidak terlibat dengan kandungan atau perbincangan awal antara Najib serta Jho Low.

Malah Jho Low mendakwa ada beberapa maklumat dalam surat itu ditulis atas kehendak Najib.

Saksi pendakwaan itu berkata, Tengku Rahimah turut memaklumkan melalui surat itu yang baginda tidak akan membuat sebarang tuntutan atau pampasan kepada TIA berikutan peletakan jawatan yang dibuatnya.

“Selepas berlaku konflik dengan pihak Istana Terengganu sehingga Tengku Rahimah meletak jawatan sebagai pengarah TIA, saya merasa tidak selesa kerana ia membabitkan golongan atasan.

“Saya meminta pandangan Jho Low dan beliau memaklumkan kepada saya bahawa Najib mencadangkan supaya kerajaan Persekutuan mengambil alih TIA kerana terdapat bon RM5 billion yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) akan mengambil alih syer Menteri Besar Terengganu Incorporated (MBI) dan membayar semula saham mereka… Ini bermakna TIA akan menjadi syarikat milik penuh MOF Inc. dan dananya dijamin oleh Kerajaan Persekutuan,” dakwanya.

Perbicaraan akan bersambung sekitar jam 9.45 pagi ini dengan barisan peguam pendakwaan dan peguambela. –MalaysiaGazette