Reaksi sugul bekas Pengerusi NIOSH Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye sewaktu ditemubual di Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2019.

KIRA-KIRA tiga hari lepas, saya menerima satu panggilan. Tertera nama TS LLThye di skrin telefon bimbit saya. Ia merujuk kepada nama aktivis masyarakat yang terkenal, Tan Sri Lee Lam Thye. Berkali-dia menelefon saya tetapi saya tidak perasan kerana kebetulan telefon sedang dicaj di kamar.

Walaupun saling mengenali, Lam Thye jarang menelefon saya. Kami hanya berbalas WhatsApp jika ada perkara penting yang hendak dibincangkan. Justeru saya tahu, pasti ada perkara mustahak yang ingin beliau katakan.

Saya balas panggilannya. Seperti biasa, beliau terlebih dahulu akan bertanyakan mengenai kesihatan saya. Namun kali ini suaranya tidak ceria seperti biasa. Lemah dan tersekat-sekat. Katanya beliau ingin bersarapan dengan saya, ada perkara hendak dikongsinya. Beliau akan menunggu saya di sebuah kawasan di Bukit Bintang pada pukul 11 pagi.

Keeseokan paginya, saya ke tempat yang dijanjikan. Selepas bersalaman, beliau mempelawa saya duduk. Di depan kami terhidang kopi panas yang sangat kuat aromanya. Wajah Lam Thye ternyata sugul. Muram. Kopi panas dalam cawannya seolah-olah tidak terusik langsung.

” Syahril, selepas saya mengambil keputusan untuk berundur sepenuhnya dalam dunia politik, saya ditawarkan ‘pelbagai peluang’ oleh banyak pihak. Sudah tentu tawaran itu sangat lumayan tetapi saya nekad untuk menjadi aktivis masyarakat kerana itulah jiwa saya.

” Percaya atau tidak, antara perkara awal yang saya buat adalah menyertai Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), elaun pun tak ada. Pada tahun 1992, Menteri Sumber Manusia ketika itu , Tan Sri Lim Ah Lek mencadangkan nama saya sebagai ahli lembaga pengarah Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH). Saya terima tawaran itu. Saya kemudian dilantik pula menjadi Pengerusi dua tahun kemudian.

” Masa saya jadi wakil rakyat dulu, saya cukup prihatin dengan nasib masyarakat terutama golongan miskin dan golongan pekerja yang ditindas majikan mereka. Sebab itu saya tak anggap selama ini saya bekerja dengan NIOSH, tetapi saya anggap ia adalah ‘passion’ saya,” tegas beliau.

Ketika ini saya melihat beliau agak bersemangat. Panjang lebar beliau bercerita mengenai NIOSH terutama bila beliau dipilih menjadi Pengerusi tidak lama selepas menyertai organisasi itu.

Tembual bersama bekas Pengerusi NIOSH Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye di Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2019.

Kata Lam Thye, antara perkara yang cukup membuatkan beliau puas hati adalah melihat NIOSH semakin dihormati dan disegani oleh pelbagai pihak terutama di pihak majikan.

Untuk rekod, NIOSH adalah merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM). Objektif penubuhan NIOSH adalah berdasarkan kepada empat teras utama iaitu latihan, penyebaran maklumat, penyelidikan dan pembangunan, serta khidmat rundingan berhubung dengan perkara-perkara berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia.

Menurut Lam Thye, ketika mula-mula beliau menyertai NIOSH, tak ramai yang tahu mengenai kewujudannya sebab itu beliau cukup berbangga apabila melihat kejayaan organisasi berkenaan ketika ini.

Ujarnya, walaupun NIOSH adalah ‘company limited by guarantee’ dan bukan sebuah syarikat multinasional, namun ia sentiasa mencatatkan keuntungan dari tahun ke tahun.

Perbualan panjang kami mengenai NIOSH terhenti apabila menyentuh mengenai tempoh perkhidmatannya di sana.

Reaksi sugul bekas Pengerusi NIOSH Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye sewaktu ditemubual di Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2019.

Wajah beliau tiba-tiba kelihatan muram. Dengan nada perlahan beliau memberitahu saya yang kontraknya di NIOSH sebenarnya sudah tamat pada 20 September lalu.

Namun kata Lam Thye, amalan sebelum ini, kira-kira dua bulan sebulan kontraknya tamat, pasti beliau akan dimaklumkan oleh Menteri Sumber Manusia mengenai status perkhidmatannya sama ada disambung atau tidak.

Ini kerana sekiranya kontrak beliau tidak disambung, sekurang-kurangnya beliau boleh membuat persiapan yang perlu untuk meninggalkan pejabatnya.

Tetapi kali ini ia tidak berlaku seperti mana biasa hingga menyebabkan beliau tertunggu-tunggu apakah ‘nasibnya’ di NIOSH.

Malah sehingga hari terakhir di NIOSH, beliau masih tidak menerima apa-apa berita mengenai statusnya.

” Dalam erti kata lain, khidmat saya sudah tidak diperlukan. Maknanya saya terpaksa ‘pergi’ dari NIOSH,” katanya dengan nada yang tersekat-sekat.

Ketika ini tiba-tiba airmatanya mengalir laju.

Reaksi sugul bekas Pengerusi NIOSH Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye sewaktu ditemubual di Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2019.

Menurut Lam Thye, beliau terlalu sebak bila mengenangkan saat-saat terakhir beliau di NIOSH apabila diraikan dalam satu majlis perpisahan di sebuah hotel baru-baru ini.

” Untuk berjalan keluar dari dewan hotel itu pun saya terpaksa ambil masa lebih satu jam kerana ramai yang hendak memeluk saya, bergambar…dan saya nampak titisan airmata mereka. Saya takkan lupa saat-saat itu.

” Selama 27 tahun saya di NIOSH, nak mengemas dan mengosongkan pejabat pun saya ambil masa dua hari,” katanya.

Di peringkat ini, saya membiarkan Lam Thye melayan perasaannya. Nampak benar NIOSH terlalu dekat dengan hatinya. Seingat saya, kali terakhir saya melihat beliau menangis apabila beliau mengambil keputusan untuk berundur dalam politik kira-kira 30 tahun lalu. Peristiwa itu saya tengok dalam program berita di televisyen.

Pertemuan kami selama satu jam itu berakhir di situ sahaja. Tak sanggup pulak melihat beliau terus dalam keadaan sebegitu sebab mengenali Lam Thye selama ini, adalah susah untuk melihat beliau ‘down’ sebegitu rupa.

Tetapi Lee Lam Thye tetap Lee Lam Thye. Ketika sedang mengelap airmatanya itu pun, beliau sempat hendak membantu saya mendapatkan rawatan setelah mengetahui yang saya sedang mengalami masalah dengan tulang belakang. Ternyata memang sesuai sangatlah selama ini beliau berada di NIOSH.

Tetapi itulah, kata pepatah orang tua-tua, sekali air bah, sekala pantai berubah dan beliau perlu menerima hakikat ini.

Selamat maju jaya buat insan yang luar biasa ini – Tan Sri Lee Lam Thye. Saya hilang kata-kata.  -MalaysiaGazette

9 Komen

  1. Terims Kadih tuan lee lam thye kerana berkhidmat dgn begitu taat dan setia kpd nuss dan bangsa. Selamat bersara dan menjalani kehidupan dgn lebih bahagia dan ceria.

  2. bertemu dan berpisah adalah perkara biasa. Tambah pula 27 tahun terlalu lama utk memegang ssuatu jawatan. Selamat tiggal Tan Sri dan terma kasih atas segala sumbangan dan perjuangan Tan Sri slama ini. Jasamu tetapi kenang

  3. Beliau meninggalkan DAP … kini Menteri Dari DAP yg memegang Kementerian yg mana Pejabat dia bernaung tidak mahukan Khidmat beliau. Begitu juga kedudukan dia didalam MIROS, Menteri Dari DAP juga yg menguasai Kementerian dimana MIROS bernaung.

  4. TS Lee LT merupakan individu yg berjiwa besar dan ‘down to earth’..pernah sekali berjumpa dgnnya semasa Majlis Hari Raya Aidifitri seorang Menteri beberapa tahun lalu.Beliau mmg selamba dan ikhlas memberi pandangan.Seorang yg kuat bekerja dan ambil berat ttg pekerja.Semoga Tan Sri Lee akan sentiasa sihat,dipanjangkan umur dan terus berjuang membela rakyat di bidang masyarakat yg lain.

  5. Tak dak kata2 (sedih atas perpisahan ini) buat anda hanya ucapan terima kasih atas perkhidmatan yg diberi buat masyarakat Malaysia yg diperlukan dari anda..semuga sihat selalu dan berbahgia bersama keluarga tercinta..JASAMUDIKENAnG UNTUK SeLAMA2NYA

  6. Tqvm Tan Sri, you are an example a good & truly Malaysian, so sad hearing you are leaving NIOSH like that…

  7. Saya tidak mengenali beliau, tapi saya tahu beliuau seorang yang ikhlas apa bila melakukan sesuatu kebaikan untuk masyarakat

  8. Terima kasih TSLLT, Jasamu tetap dikenang oleh semua rakyat Malaysia….TSLLT terlalu istimewa.

Comments are closed.