SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengumumkan Belanjawan 2020 iaitu belanjawan seimbang, berbanding Belanjawan Defisit yang telah dilaksanakan selama empat tahun sejak 2016 sehingga tahun ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata, anggaran belanjawan 2020 melibatkan RM480.57 juta yang terdiri daripada belanja mengurus RM340.17 juta dan belanja pembangunan RM140.4 juta.

Beliau berkata anggaran hasil meningkat RM31.16 juta iaitu 6.9 peratus berbanding tahun 2019.

“MBSA akan memberi penekanan kepada lima strategi utama iaitu memantapkan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan, memperkasa kemudahan awam dan prasarana, menuju bandar raya indah dan hijau, memperkasakan komuniti melalui program yang bermanfaat dan berimpak tinggi serta menuju Shah Alam Bandar raya pintar.”

“MBSA turut mengambil langkah untuk meningkatkan projek naik taraf bangunan dan infrastruktur di sekitar bandaraya ini,” katanya pada sesi pembentangan belanjawaan itu di sini.

Beliau berkata, dalam usaha menyokong negeri Selangor menjadi negeri pintar menjelang 2025, MBSA merancang untuk membina sebuah lagi terminal bas bersepadu yang diintergrasikan bersama Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) berhampiran Stadium Shah Alam.

Tambahnya, MBSA turut membeli sebuah bas elektrik yang akan beroperasi menggunakan laluan Bas Smart Selangor dan memperkenalkan sewaan skuter elektrik sebanyak 100 unit yang akan beroperasi di sekitar Pusat bandar Shah Alam tahun depan.-MalaysiaGazette