Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat, Datuk Lokman Noor Adam (dua kiri) menyerahkan laporan siasatan pakar forensik video seks yang melibatkan seorang Menteri Kabinet kepada Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Tiada sebab bagi UMNO dan Pas untuk memenuhi undangan Tun Dr Mahathir Mohamad ke Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober ini jika Kabinetnya masih ‘kotor’ dengan menteri yang terpalit gaya hidup songsang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menegaskan, Dr Mahathir perlu memenuhi tiga syarat utama sebelum pimpinan Melayu lain menyertai kongres berkenaan.

“Kalau Mahathir betul-betul nak supaya UMNO dan Pas terlibat dalam Kongres Maruah Melayu, beliau mesti jadi Melayu bermaruah, yang telah merosak dan menarik hak orang-orang Melayu.

“Beliau mesti lantik Menteri Kewangan Melayu kerana kita dapati Menteri Kewangan DAP tidak layak untuk menjadi Menteri Kewangan.

“Dr Mahathir juga mesti pastikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang tiada maruah ini, yang melakukan kerja semburit ini harus digugurkan daripada Kabinet,” katanya pada sidang media di luar Perkarangan Kedutaan Thailand, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat bersama Presiden Bangkit, Shahrin Azlan menyerahkan laporan siasatan pakar forensik video semburit mirip menteri Kabinet kepada Kedutaan Thailand.

Bagaimanapun laporan forensik itu hanya dapat diserahkan di pintu masuk Kedutaan Thailand susulan keengganan wakilnya menerima kehadiran kedua-dua pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).

Lokman juga menegaskan, pemimpin UMNO dan Pas masih tidak lagi terdesak untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih melindungi pesalah.

“UMNO dan Pas tak lapar untuk bekerjasama dengan parti yang dipimpin oleh golongan semburit ini,” katanya.

Katanya lagi, pemimpin politik Melayu lain hanya akan memenuhi undangan itu sekiranya pemimpin UMNO dan Pas dibenarkan berucap dan menyampaikan amanat masing-masing.

“Kita nak presiden Pas beri ucapan, kita nak presiden UMNO bagi ucapan, kita nak Anwar Ibrahim bagi ucapan.

“Kita nak dia panggil Datuk Seri Najib Razak bagi ucapan, kita tahu dia benci, Najib mesti bagi ucapan.

“Kalau semua syarat ini dia tak boleh penuhi, tiada sebab kita nak menghadirinya,” katanya.

Lokman tidak menolak kemungkinan Anwar tidak akan dijemput dalam Kongres Maruah Melayu itu didakwa untuk menafikan haknya sebagai Perdana Menteri ke-8.

“Kita tahu dia tak suka Anwar, sebab dia nak gunakan dalam Kongres Maruah Melayu untuk menafikan hak Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. Kita tahu

“Kalau nak Penyatuan Melayu, maruah Melayu, panggil Anwar Ibrahim bagi ucapan,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya sukar untuk mempercayai apa pun alasan yang diberikan oleh Dr Mahathir mengenai kongres pada Oktober ini memandangkan ia dianjurkan oleh pengkhianat parti Melayu itu.

“Kongres Maruah Melayu ini tiada maruah dan ia dianjur oleh pihak-pihak yang tiada maruah kerana dia menang atas tiket BN, mereka keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu dan Bebas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette