Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Ahmad Fadhli Shari bercakap kepada media mengenai keputusan inkues bagi menentukan punca kematian Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 27 SEPTEMBER 2019

SHAH ALAM – Tugas polis sekarang ialah mencari pembunuh Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim untuk dibawa ke muka pengadilan, tegas Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Ir. Khairil Nizam Khirudin.

Kenyataan beliau yang dibaca oleh Timbalannya, Ahmad Fadhli Shari turut mendesak Tan Sri Tommy Thomas supaya berundur, bercuti atau meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara.

Pada masa sama, DPPM juga mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning yang juga anggota Exco kerajaan negeri, V. Ganabatirau didakwa dan dihadapkan ke mahkamah kerana beliau merupakan dalang yang mencetuskan rusuhan di Kuil Sri Mariamman, Subang Jaya tahun lalu.

“Kita melahirkan rasa syukur dan gembira dengan keputusan inkues hari ini walaupun wujud kacau ganggu yang datang dari pihak tertentu (Peguam Negara) sehingga beliau (Tommy) diputuskan telah menghina mahkamah.

“Keputusan hari ini dapat memudahkan proses menegak keadilan untuk Allahyarham Muhammad Adib dan sekurang-kurangnya melegakan hati rakyat serta mengembalikan keyakinan institusi mahkamah,” katanya pada sidang media khas selepas keputusan inkues dibacakan di Mahkamah Koroner Shah Alam di sini, hari ini.

Keputusan itu diumumkan Koroner Rofiah Mohamad selepas 41 hari prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Allahyarham Muhammad Adib berlangsung.

Ketika membacakan keputusan tersebut, Koroner Rofiah juga berkata, mahkamah memutuskan bahawa kecederaan Allahyarham Muhammad Adib bukan perbuatan sendiri, sebaliknya disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu.

Menurut Ahmad Fadhli, rakyat menganggap inkues yang diputuskan oleh Tommy kononnya untuk mencari punca kematian Muhammad Adib tidak lebih untuk mengabui mata dan menutup kelemahan dalam usaha pihak berkuasa mencari pembunuh sebenar anggota bomba itu.

Justeru, tegas beliau, berdasarkan keputusan inkues itu yang memutuskan kematian Muhammad Adib sebagai jenayah, DPPM menuntut supaya peguam negara perlu dipecat atau sekurang-kurangnya direhatkan untuk satu tempoh sehingga keadilan untuk Allahyarham berjaya dicapai.

“Kita juga mendesak polis meningkatkan siasatan dengan memanggil semula tertuduh yang pernah dilepaskan sebelum ini dan memulakan proses pendakwaan di mahkamah.

Sementara itu, anggota Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Faiz Hashim berkata, kejayaan bagi Allahyarham Muhammad Adib dan keluarganya itu adalah hasil daripada doa seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, rakyat telah melihat perundangan negara ini telah ditegakkan dan sepakat dengan rakan seperjuangannya, Dewan Pemuda Pas bahawa kejadian itu bukan isu perkauman.

“Ini semua doa dari rakyat Malaysia. Kita nak lihat perundangan kita ditegakkan. Pemuda UMNO bersama Pas menyokong perundangan yang memihak kepada Allahyarham Muhammad Adib, dan ini bukan isu perkauman, sebaliknya melibatkan keadilan dan kemanusiaan,” katanya. – MalaysiaGazette