Pesawat Boeing 737 MAX

CALIFORNIA – Boeing perlu memberi lebih perhatian bagaimana juruterbang perlu bertindak balas terhadap kecemasan dalam penilaian keselamatan pesawat 737 Max, menurut ketua-ketua agensi pengangkutan Amerika Syarikat.

Pesawat itu telah digantung sejak bulan Mac tahun ini susulan dua nahas.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) mesti menentukan sama ada pesawat berkenaan selamat.

Tetapi menurut Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) Amerika Syarikat, juruterbang yang terlibat dalam kemalangan maut itu “tidak bertindak balas seperti yang dijangkakan oleh Boeing dan FAA”.

Pesawat 737 Max diarahkan supaya dihentikan penerbangan selepas nahas Ethiopian Airlines pada 10 Mac lalu. Tragedi itu mengorbankan 157 orang penumpang.

Ia merupakan kemalangan kedua selepas pesawat Lion Air terhempas pada 28 Oktober tahun lepas dengan membunuh 189 orang penumpang.

Dalam kedua-dua kejadian, penyiasat menumpukan pada peranan yang dimainkan oleh sistem perisian yang dipanggil MCAS (Manoeuvring Characteristics Augmentation System)), yang direka untuk menjadikan pesawat lebih mudah untuk terbang.

Siasatan telah menunjukkan perisian – dan kegagalan sensor – menyebabkan juruterbang tidak dapat mengawal pesawat.

Boeing berkata, ia sedang menyemak semula perisian pesawat untuk meningkatkan keselamatan.

Tetapi pengarah Pejabat Keselamatan Penerbangan NTSB, Dana Schulze berkata, Boeing “tidak melihat semua isyarat dek penerbangan dan tanda-tanda bahawa para juruterbang mungkin menghadapi kegagalan keadaan yang berlaku dalam pesawat Lion Air dan Ethiopian Airlines”.

Awal bulan ini, pengawas keselamatan penerbangan Eropah, Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA) berkata ia tidak akan menerima keputusan Amerika Syarikat sama ada 737 Max adalah selamat.

Sebaliknya, ia akan menjalankan ujian sendiri pada pesawat itu sebelum menarik semula penggantungan pesawat berkenaan. – MalaysiaGazette