Datuk Hafarizam Harun

KUALA LUMPUR – Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta, telah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Hasnal Rezua Merican, yang mewakili Mohd Hafarizam, 47, ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd Saad, di sini, hari ini.

“Setakat ini, mahkamah belum menetapkan tarikh pendengaran bagi permohonan itu kerana pihak pendakwaan perlu mendapatkan arahan Jabatan Peguam Negara sama ada ingin mengemukakan bantahan ataupun sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, mahkamah menetapkan 14 Okt ini untuk pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar yang sama bagi mendapatkan tarikh sebutan.

Hasnal Rezua berkata permohonan untuk memindahkan kes berkenaan difailkan, minggu lepas.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul, berkata, mahkamah memberi masa sehingga 14 Okt ini untuk pihak pendakwa pendakwaan memfailkan afidavit balasan sama ada ingin membantah atau menyokong permohonan itu.

Pada 26 Ogos lepas, Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad menetapkan empat hari mulai 22 Okt ini bagi perbicaraan kes Mohd Hafarizam yang dituduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM15 juta daripada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tarikh lain ditetapkan ialah 11 hingga 13 Nov ini dan sebanyak 15 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan tersebut.

Pada 21 Feb lepas, Mohd Hafarizam mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan tersebut di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Dia didakwa mendeposit dua keping cek daripada Najib berjumlah RM11.5 juta ke dalam akaun bank milik firma guamannya, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, antara 16 April dan 4 Nov, 2014.

Bagi pertuduhan kedua, peguam itu didakwa mendeposit cek bernilai RM3.5 juta daripada Najib ke dalam akaun sama pada 12 Feb, 2015.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan CIMB, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

— BERNAMA