Datuk Seri Amiruddin Shari
SHAH ALAM – Program Pemberian Air Percuma yang dilaksanakan kerajaan Selangor sejak 1 Jun 2008, akan dijenamakan sebagai Skim Air Darul Ehsan berkuat kuasa 1 Mac tahun depan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam kenyataan berkata, keputusan dijajarkan semula program air percuma itu berikutan peningkatan jumlah penduduk setiap tahun yang memberi kesan besar kepada kedudukan kewangan negeri.

“Menerusi Skim Air Darul Ehsan, ia akan menyasarkan kumpulan penduduk dengan pendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah, bagi pengguna domestik yang mempunyai meter individu.

“Manakala, bagi pengguna di pangsapuri kos rendah yang mempunyai meter pukal, syarat kelayakannya adalah sama, namun permohonan mereka perlulah mendapat pengesahan dari Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC). Setiap pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun air atau premis sahaja,” katanya.

Beliau berkata, Skim Air Darul Ehsan itu juga akan dapat menyasarkan golongan memerlukan selain menjamin perbelanjaan subsidi bersasar yang tepat.

Amirudin berkata, setiap pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun air atau premis sahaja dan pengguna yang memenuhi syarat boleh membuat permohonan secara atas talian melalui laman web Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) www.ssipr.selangor.gov.my atau mengisi Borang Permohonan Program IPR Skim Air Darul Ehsan.

Katanya, borang boleh dimuat turun atau diperoleh melalui laman sesawang www.airselangor.com, kaunter perkhidmatan di pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di seluruh Selangor.

“Borang permohonan yang telah diisi dengan lengkap boleh dihantar melalui emel kepada [email protected] atau diserahkan di mana-mana kaunter perkhidmatan pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor.

“Air Selangor akan bekerjasama dengan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pejabat daerah, penghulu, ketua kampung, JMB dan persatuan penduduk, bagi memberikan penerangan berhubung pelaksanaan Program Skim Air Darul Ehsan ini,” kata Amirudin.

Jelasnya, pendaftaran Skim Air Darul Ehsan itu akan bermula pada 30 Sept sehingga 31 Dis tahun ini bagi mengemas kini semua data pemohon serta pengesahan pemohon yang layak melalui semakan silang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau berkata, proses semakan pula hanya akan bermula selepas tarikh tutup permohonan, dan pemohon akan dimaklumkan berkenaan status permohonan mereka selewat-lewatnya pada penghujung bulan Februari tahun depan.

“Sehingga tarikh tersebut, semua pemegang akaun berjumlah 1.6 juta yang sedang menikmati Program Pemberian Air Percuma 20 meter padu akan terus menikmati rebet 20 meter padu sehingga 29 Feb tahun depan.

“.. sehingga 31 Disember 2018, sebanyak RM1.8 bilion telah dibelanjakan bagi melaksanakan Program Pemberian Air Percuma ini, manakala, bagi sepanjang tahun 2019 pula, kos pelaksanaan program itu dijangka akan terus meningkat sehingga mencecah RM220 juta, ” katanya. – MalaysiaGazette