Sebahagian ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir bagi mendengar keputusan inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 27 SEPTEMBER 2019

SHAH ALAM – Mahkamah Koroner hari ini merumuskan sekumpulan lelaki berketurunan India telah memukul anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Koroner Rofiah Mohamad merumuskan keputusan itu berdasarkan keterangan saksi, S. Narresh yang berada di tempat kejadian.

“Saksi terdengar seseorang bertanya dalam bahasa Tamil ‘bomba pun nak pukul ke?’

“Ini menunjukkan pertanyaan itu ditanya oleh seseorang yang fasih berbahasa Tamil kepada seseorang yang memahami bahasa Tamil.

“Saya membuat dapatan kejadian pukul telah berlaku,” katanya.

Rofiah turut merumuskan Muhammad Adib telah diserang susulan tragedi rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 pada 27 November tahun lalu.

Keputusan itu sepadan dengan teori perunding kanan patologi forensik di United Kingdom, Dr Shahrom Abd Wahid yang memberitahu inkues bahawa Adib berkemungkinan besar ditarik keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika insiden rusuhan dan mangsa juga mungkin dihentak ke pintu van berkenaan dengan kuat.

“Saya merumuskan bahawa kecederaan paru-paru yang dialami Muhammad Adib adalah bukan perbuatan diri.

“Perbuatan disifatkan sebagai jenayah yang dilakukan dua atau lebih individu terhadap Adib yang menyebabkan kecederaan,”katanya.

Rofiah berkata, rumusannya turut menolak teori dikeluarkan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van EMRS sebelum dilanggar.

Katanya, keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul di mana ia membabitkan kira-kira 20 hingga 30 lelaki berbangsa India.

“Punca kematian Muhammad Adib bukan berpunca daripada dirinya sendiri atau disebabkan kemalangan,” kata beliau.

Rofiah turut memberitahu, keputusannya dikuatkan lagi apabila mendapati Adib adalah mangsa jenayah kerana ia diakui sendiri oleh arwah.

Beliau merujuk keterangan saksi ke-16, Ashraf Baruji iaitu seorang pembantu pegawai pembedahan yang menjaga Adib di Institut Jantung Negara yang dalam keterangannya memberitahu arwah pernah memaklumkan dia dipukul.

“Ashraf telah membina persahabatan erat sepanjang menjaga Adib dan saksi sentiasa memberi semangat kepada arwah memandangkan tugasnya menjaga arwah dan menyiapkan arwah tidur setiap malam.

“Tidak hairahlah wujud kepercayaan sehingga membawa kepada Adib mencerita dia ditarik dan dipukul kepada saksi ke-16,”katanya.

Rofiah sesekali dilihat tidak dapat menahan perasaan ketika membacakan keputusan inkues kematian Allahyarham itu selama 30 minit.

Prosiding yang bermula kira-kira jam 9.40 pagi tadi selesai pada jam 10.10 pagi.

Inkues bagi menentukan punca kematian Adib bermula 11 Feb lalu susulan pelbagai dakwaan bercanggah mengenai punca kematian anggota bomba itu.

Rofiah mengakhiri prosiding inkues selama 41 hari pada 24 Julai lalu selepas mendapati keterangan 30 saksi termasuk pakar mencukupi untuk membantu mahkamah membuat keputusan.

Sebanyak 137 eksibit dikemukakan kepada mahkamah.

Adib, 24, anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah ketika rusuhan berlaku di luar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November 2018.

Dia meninggal dunia pada 17 Disember lalu, selepas tiga minggu bertarung nyawa ketika dirawat di Institut Jantung Negara. – MalaysiaGazette