Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas menggesa semua pihak untuk bertanggungjawab memelihara keharmonian negara dan tidak mengambil tindakan melangkaui undang-undang dalam menghadapi provokasi isu agama dan kaum.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Malaysia mempunyai peruntukan perundangan untuk mengatasi isu ini dan ia wajib dipatuhi oleh semua pihak.

Kenyataan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu merujuk kes seorang pekerja yang ditembak selepas menetak dua rakan sekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

“Pas menasihati orang ramai supaya bersabar dan serah kepada pihak polis. Tular pelbagai versi maklumat di media sosial mengenai insiden tersebut sehingga ramai orang membuat pelbagai kesimpulan tertentu.

“Pas juga meminta rakyat supaya serahkan kepada pihak yang lebih berautoriti untuk menentukan status syahid. Rakyat awam tidak mempunyai kedudukan sah untuk menentukannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim yang melahirkan rasa kegusaran parti itu menambah, sekiranya hal ini tidak dibendung dengan segera, Pas bimbang rakyat akan terus mengapi-apikan isu ini sehingga boleh mencetuskan konflik perkauman yang lebih kritikal.

“Sikap cabar mencabar, memprovokasi dan balas dendam akan mengeruhkan situasi. Hentikan sebar sebarang spekulasi yang akan menjurus kepada andaian yang tidak tepat,” ujarnya. – MalaysiaGazette