SHAH ALAM – Tunang kepada Muhammad Adib Mohd. Kassim, Nurul Najihah Mohd. Radzi melahirkan rasa syukur dengan keputusan inkues oleh Mahkamah Koroner bagi menentukan kematian anggota bomba itu.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan keputusan ini,” katanya ringkas sambil menangis teresak-esak di luar Kompleks Mahkamah Shah Alam di sini hari ini.
Wanita yang berusia 25 tahun itu sepatutnya bernikah dengan Allahyarham Muhammad Adib akhir Disember lalu terus berlalu dengan menaiki kenderaan bersama seorang wanita tidak dikenali.
Sebelum itu, Nurul Najihah yang memakai baju kurung berwarna biru tiba di galeri awam pukul 8.45 pagi tadi.
Kemunculan Nurul Najihah itu mencuit perhatian media kerana ini pertama kali dia hadir ke prosiding kematian tunangnya selepas 41 hari berlangsungnya inkues. – MalaysiaGazette
















