Kenderaan yang dibakar dalam insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 27 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO menggesa Tan Sri Tommy Thomas melepaskan jawatannya dan meminta maaf secara terbuka di atas kekhilafan besar kerana memfailkan afidavit yang berunsur skandal dan subjudis dengan mengambil posisi bahawa Muhammad Adib Mohd Kassim tidak dibunuh.

Tindakan Peguam Negara itu jelas mendahului prosiding inkues, kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki.

Pergerakan Pemuda UMNO juga mahu polis mengambil tindakan segera tanpa menangguh lagi untuk mengenalpasti dan menyiasat suspek-suspek yang bertanggungjawab ke atas kematian Allahyarham Adib.

Selain itu, pergerakan itu turut mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mencetus dan membuat kenyataan berunsur hasutan sehingga berlakunya rusuhan pada malam kedua di Kuil Sri Maha Mariaman Seafield sehingga menyebabkan kematian arwah Adib.

“Pemuda UMNO turut mendesak Exco DAP Selangor V. Ganabatirau untuk meletakkan jawatan secara terhormat dan diambil tindakan tegas dari segi undang-undang kerana bertanggung jawab mengeluarkan kenyataan jahat mendakwa orang Islam menyerang Kuil Sri Mariaman sehingga mempengaruhi 10,000 masyarakat Hindu untuk keluar merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman pada malam Adib dibunuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, empat orang menteri iaitu M. Kulasegaran, P. Waytha Moorthy, Gobind Singh Deo dan Xavier Jayakumar juga didesak disiasat dan dipertanggungjawabkan kerana mengeluarkan kenyataan bersama berbaur hasutan sehingga menyemarakkan lagi api kemarahan masyarakat Hindu untuk keluar berkumpul beramai-ramai merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman pada malam kedua yang telah mengakibatkan kematian Adib.

Tegas Asyraf, kerajaan dan pihak berwajib perlu mengambil tindakan tanpa pilih kasih supaya keadilan terhadap arwah Adib yang lama tertangguh dapat disegerakan. – MalaysiaGazette