KUALA LUMPUR – Penunggang motosikal bebas yang menjadi penghantar kepada foodpanda kini ditawarkan bayaran dan insentif baharu yang lebih lumayan mulai 30 September ini.

Daripada tarikh itu, pemandu bebasnya akan menerima bayaran RM7 setiap tempahan berbanding RM5 sebelum ini, selain bonus RM100 jika bekerja 60 jam seminggu.

Sebagai tambahan, penunggang motosikal foodpanda akan menerima tambahan RM1 bagi setiap tempahan antara pukul 11 malam hingga 9 pagi.

Selain itu, mereka akan menerima bonus tambahan antara 30 September hingga 6 Oktober apabila dapat menyelesai minimum 80 tempahan dalam tempoh waktu tersebut.

“Untuk menggalakkan penunggang menghantar lebih banyak tempatan, setiap shift kerja, senarai ‘Hot Zones’ akan diperkenalkan kepada mereka,” kata Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Sayantan Das.

Das berkata, foodpanda sentiasa menawarkan fleksibiliti kepada penunggang-penunggang bebasnya untuk bekerja berdasarkan keselesaan mereka dengan sistem yang ada. – MalaysiaGazette