SARAJEVO – Malaysia berhasrat untuk mengeksport produk dan perkhidmatan halal sebanyak AS$12 bilion (RM50 bilion) pada tahun 2020.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sasaran ini dapat dicapai melalui kerjasama yang erat di antara agensi kerajaan dan sektor swasta termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kita juga telah merangka beberapa usaha dan program, terutamanya Pelan Induk Industri Halal (2008-2020), yang bertujuan untuk mencapai matlamat menjadikan negara sebagai pemimpin global dalam inovasi, pengeluaran dan perdagangan dalam sektor halal.

“Ketika ini, Malaysia melalui Taman Halal yang diiktiraf oleh HALMAS, iaitu akreditasi yang diberi oleh Halal Industry Development Corporation (HDC) telah berjaya menarik pelaburan melebihi RM13 bilion, dan ianya dijangka berkembang dengan pesat selaras dengan pertambahan penduduk Islam seluruh dunia yang kini mencapai 1.8 bilion orang,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Sarajevo Halal Fair 2019.

Pada acara itu juga, Saifuddin bersama Pengerusi Majlis Menteri Sarajevo, Prof Dr. Denis Zvizdic dan Sefik Dzaferovic (Ahli Presiden) telah menyaksikan upacara menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai sekitar EUR25 juta (RM115 juta) antara syarikat-syarikat Malaysia dan Bosnia & Herzegovina.

Mengulas lanjut beliau berkata, hubungan dagang antara Malaysia dan Bosnia & Herzegovina bertambah baik dengan jumlah perdagangan kedua-dua negara mencatat AS$1.7 Juta (RM7 juta) pada tahun 2017 dengan jumlah pertumbuhan
yang besar sebanyak 179.9% berbanding 2016.

“Pada tahun 2017, jumlah perdagangan Malaysia dengan Bosnia dan Herzegovina berjumlah AS$1.7 Juta (RM7 juta) dengan jumlah pertumbuhan yang besar sebanyak 179.9% berbanding 2016.

“Pada tahun 2017, eksport Malaysia ke Bosnia & Herzegovina bernilai AS$881,373.00 (RM3. 7 juta) manakala import pula berjumlah AS$786,214.00 (RM3.3 juta),” jelasnya.

Beliau menambah, antara eksport utama Malaysia ke Bosnia & Herzegovina adalah produk elektrik dan elektronik, makanan olahan, produk getah, dan peralatan optik dan saintifik.

“Manakala Import utama kita pula ialah produk-produk kimia, produk kayu, tekstil,pakaian dan kasut, serta produk elektrik dan elektronik,” tambahnya.

Katanya, terdapat juga pelbagai bidang kerjasama yang boleh diterokai oleh syarikat Malaysia dan Bosnia, seperti produk makanan (terutama makanan halal), produk getah, produk elektrik dan elektronik, hospitaliti dan farmaseutikal, kosmetik, kewangan, pelancongan, e – perdagangan, logistik dan perkhidmatan-perkhidmatan lain. – MalaysiaGazette