Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Murabbi Ummah di Kompleks Perbadanan Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2019.

PUTRAJAYA- Tiada keperluan untuk mengadakan pemantauan khusus terhadap pendakwah-pendakwah bertauliah bagi mengelakkan mereka membuat kenyataan yang tidak sewajarnya termasuklah melabelkan pihak-pihak tertentu.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, agensi tersebut telah menyediakan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh para pendakwah.

“Setakat ini murabbi yang kita dilantik mempunyai tauliah.

“Mereka sentiasa dekat dengan dasar-dasar kerajaan dan sekiranya ada berlaku insiden sedemikian, ia adalah perkara terpencil dan kami akan beri nasihat.

“Tidak perlu pemantauan secara khusus kerana mereka tahu apa tugas masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri untuk merasmikan Konvensyen Murabbi Ummah Peringkat Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Mohamad Nordin ditanya pemberita mengenai trend terkini, di mana para penceramah atau pendakwah kerap membuat kenyataan-kenyataan hangat mengenai isu-isu semasa sehingga melabelkan pihak-pihak tertentu dengan panggilan negatif.

Tambah beliau, murabbi yang terdiri daripada imam, guru KAFA dan pendakwah bertauliah perlu menghadiri program-program kefahaman setiap tahun.

Ini bagi memastikan mereka tidak tergelincir daripada landasan dan dasar yang telah ditetapkan kerajaan.-MalaysiaGazette