Wan Zulkiflee Wan Ariffin

KUALA LUMPUR- Petronas menggesa semua pemain industri berganding bahu menyokong usaha mempromosikan gas asli cecair (LNG) sebagai sumber tenaga bersih untuk jangka masa panjang.

Presiden dan Ketua Pegawai Kumpulannya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, sekarang merupakan masa yang paling kritikal kepada semua pemain industri untuk bersama-sama menguruskan cabaran yang disebabkan oleh perubahan pasaran, sikap pelanggan, pertambahan komitmen dan dasar daripada pihak berwajib dan teknologi serta inovasi.

Kesemua itu menurut beliau, mampu menjejaskan pertumbuhan pasaran LNG.

“Sebagai bahan api yang melimpah-ruah dan mesra alam, LNG berada di kedudukan terbaik untuk memainkan peranan penting dalam memastikan aspirasi global dapat dicapai kerana ia merupakan bahan api yang selamat, berpatutan dan lestari,

“Walaupun pertumbuhan LNG mempunyai banyak kisah menarik namun pihak industri perlu sentiasa berhati-hati.

“Kejayaan industri ini sangat bergantung kepada tindakan kukuh dan bersepadu di antara semua pemegang taruh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bercakap dalam satu persidangan di Tokyo, Jepun baru-baru ini, Wan Zulkiflee menegaskan kepentingan menyokong LNG dan mencipta permintaan baharu.

“Setiap permintaan mempunyai kriteria yang unik.

“Pemain-pemain industri perlu bekerjasama dengan semua pemegang taruh bagi mencapai penyelesaian yang sesuai untuk semua pihak di samping berkongsi tanggung jawab dalam menjadikan LNG lebih mudah tersedia dan diakses,” katanya.

Tambahnya, Petronas yang merupakan salah sebuah pemain industri sejak lebih 30 tahun lalu telah membuat pelaburan besar dalam membuka potensi LNG dan memastikan alam sekitar yang lebih bersih dapat diwariskan kepada generasi akan datang.-MalaysiaGazette