Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – Cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyenaraikan Petronas Carigali Sdn. Bhd didakwa hanya menghalalkan penjualan pegangan aset syarikat milik kerajaan (GLC) kepada kroni-kroni dan pihak-pihak berkepentingan kepada beliau.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, Petronas Carigali merupakan anak syarikat paling utama Petronas yang berperanan untuk mencari dan mengeluarkan petroliam dan merupakan penyumbang utama kepada pendapatan syarikat minyak negara.

Berdasarkan anggaran, Petronas Carigali bernilai sekurang-kurangnya RM250 bilion hingga RM300 bilion.

Menurutnya, jika Petronas Carigali menjual 20% saham sahaja, ia akan memperoleh RM50 bilion hingga RM60 bilion.

Razlan berkata, sekiranya mengikut trend Menteri Kewangan, pastinya Kerajaan Malaysia akan mendakwa penjualan saham tersebut sebagai pelaburan asing (FDI), sedangkan ia adalah satu tindakan yang menjual aset negara.

“Kita percaya bahawa tindakan Tun Dr Mahathir untuk menyenaraikan Petronas Carigali ini adalah tindakan ‘terkebelakang’ dan langkah mudah tanpa memikirkan impak dan kesan jangka panjang.

“Mungkin Tun Dr Mahathir terlupa untuk melihat apakah kesan penyenaraian FGV (syarikat milik Felda) sebelum ini di Bursa Malaysia dan apa sudah jadi kepada saham FGV di Bursa Saham Malaysia kini?,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang tidak menolak kemungkinan untuk menyenaraikan salah satu anak syarikat Petronas ke dalam Bursa Malaysia, antaranya Petronas Carigali.

Perdana Menteri berkata, ramai pelabur percaya bahawa penyenaraian Petronas atau Carigali mampu merangsang bursa tempatan.

Bagaimanapun, katanya, pada masa ini, kerajaan merasakan bahawa menjual saham Petronas tidaklah baik kerana mahu Petronas menyokong kerajaan.

Razlan turut mendakwa dalam keadaan Bursa Malaysia dilabelkan sebagai ‘sole loser‘, siapakah yang berminat untuk membeli saham Petronas Carigali jika ia disenaraikan.

“Jawapannya mungkin akan dibeli mereka yang ada kepentingan kepada Kerajaan hari ini. Ya, dengan penyenaraian ini, pastinya ia akan lebih mudah untuk ahli perniagaan sekutu PH membeli dan memiliki saham Petronas Carigali,” katanya sambil mengingatkan polisi dan tindakan seperti ini adalah sangat tidak sihat dan akan menyebabkan sesiapa sahaja yang mengambil alih pentadbiran negara selepas ini pastinya akan menghadapi masalah. – MalaysiaGazette