PKR mahu supaya semua pihak mengelak dari menjadi agama dan kaum alasan untuk mengalih perhatian rakyat.

KUALA LUMPUR – PKR mahu semua pihak mengelak daripada menggunakan alasan agama dan kaum terutama untuk mengalih pandangan umum dari isu ekonomi dan agenda rakyat.

Perkara itu ditekankan oleh Majlis Pimpinan Pusat Keadilan yang bermesyuarat hari ini.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat juga memutuskan untuk sentiasa berusaha mengukuhkan semangat perjuangan Pakatan Harapan yang mempertahan Perlembagaan Persekutuan, terutama dalam isu kedudukan Bahasa Melayu dan agama Islam.

“Parti juga akan sentiasa mempertahankan prinsip keadilan rakyat terutama dalam merangka dasar-dasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

Mesyuarat hari ini juga sebulat suara menyokong calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Beliau berkata, pihaknya akan mengerahkan seluruh jentera pilihan raya parti untuk turun membantu PPBM dan Pakatan Harapan mengekalkan kemenangan di kerusi di parlimen itu.

PRK Tanjung Piai akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat serangan jantung di Hospital Pontian, Johor.

Md. Farid juga memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia  Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dengan majoriti 524 undi. – MalaysiaGazette