Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, DatukFF. foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara hari ini mendesak polis bertindak ke atas pemilik akaun Facebook dan Twitter yang didakwa menyebarkan artikel tohmahan bertajuk 200,000 penerima sijil kewarganegraan baharu ikrar balas jasa kerajaan PH.

Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata,  satu laporan polis dibuat berikutan penyebaran berita palsu itu didakwa ditularkan di akaun Twitter dan Facebook oleh pemiliknya seorang awam yang tidak bertanggungjawab dan beretika terhadap kedaulatan dan keharmonian negara.

“Kami pihak JPN memandang serius dakwaan ini berikutan bagi pihak JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sendiri tidak pernah mengeluarkan sijil kewarganegaraan baharu sebanyak itu.

“Kementerian terbabit telah mengeluarkan kenyataan media menafikan perkara ini berikutan jumlah yang ditularkan tersebut adalah jumlah yang fitnah dan tohmahan yang tak munasabah langsung.

“Proses permohonan kewarganegaraan adalah satu proses rumit dan memerlukan penelitian dan prosedur ketat, yang mana kita memandang serius perkara ini supaya orang awam tidak mudah terpengaruh dengan perkara seperti ini, selain melahirkan kebimbangan masyarakat kononnya JPN melakukan perbuatan itu.

“Saya sendiri tampil pagi ini buat laporan terhadap pemilik kedua- dua akaun itu yang bernama Tengku Raja Alam dan berharap polis menyiasat dan bertindak ke atas pemilik akaun berkenaan yang menyebarkan tohmahan tidak berasas itu demi mencemarkan nama baik dan imej agensi kerajaan itu,” katanya dalam sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Putrajaya selepas selesai membuat laporan tersebut.

Datuk Ruslin Jusoh (tengah) berjalan keluar selepas membuat laporan polis berkaitan isu dakwaan 200 Ribu Penerima Sijil Kewarganegaraan Baru Ikrar Sedia Balas Budi Kerajaan Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2019

Penelitian kandungan laporan polis yang dibuat beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di Presint 7 jam 10.58 pagi ini menyatakan bahawa beliau pada Jumaat 27 September lalu sekitar jam 6.45 pagi ketika berada di Putrajaya telah menerima satu link akaun Twitter melalui pesanan khidmat whatsapp yang menularkan dakwaan terdapat 200,000 penerima sijil kewarganegaraan baharu ikrar sedia balas budi kerajaan PH.

Kemudian beliau telah mengarahkan pegawai untuk memantau isu terbabit di media sosial sebelum pegawainya mengesan beberapa akaun yang memulakan posting berkaitan iaitu akaun Twitter TengkuRajaAlam dan akaun Facebook dengan nama akaun, Tengku Raja Alam Shah.

Satu kenyataan rasmi dikeluarkan KDN telah dikeluarkan pada pada 28 September bagi menafikan dakwaan tersebut dan KDN meminta pemilik akaun media sosial berkenaan tampil membuktikan bahaa dakwaan tersebut adalah sahih dan bukan bersifat tohmahan semata mata.

Ditanya sama motif laporan polis, katanya, laporan dibuat sebagai mendesak polis menyiasat sama ada akaun palsu atau benar termasuk mengesan pemilik kedua dua akaun itu yang merupakan seorang individu sahaja.

“Sekiranya akaun benar saya minta polis menyiasat terperinci dan bertindak ke atas pelaku, selain pihak kita meminta pemilik akaun itu hadir ke JPN dan membuktikan kepada kita bahawa terdapat 200,000 pemilik sijil kewarganegaraan tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh (tiga kiri) bersama pegawai-pegawai JPN menunjukkan laporan polis yang dibuat berkaitan isu dakwaan 200 Ribu Penerima Sijil Kewarganegaraan Baru Ikrar Sedia Balas Budi Kerajaan Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2019

“Tetapi untuk pihak kita, tak pernah mengeluarkan sijil kewarganegaraan sebanyak itu dan esok unit korporat JPN akan berjumpa dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) susulan perkara ini untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Disoal sama ada JPN mempunyai purata pengeluaran sijil kewarganegaraan atau kuota dalam pemprosesan tempoh setahun, beliau bagaimanapun menegas jumlahnya terlalu sedikit.

“Sebenarnya kelulusan kewarganegaraan adalah melalui proses yang agak ketat di mana bukan sahaja kita di JPN memproses permohonan tersebut, tetapi dengan syarat pemohon itu mempunyai kelayakan dan tanpa kelayakan mereka tak boleh memohon pun selepas ia ke KDN. – MalaysiaGazette